Monday, December 7, 2009

Ujian Wali - renungan pembaca.


Salam hormat dan rahayu,

Sebaik saja Wali Allah itu telah menamatkan latihan rohaniahnya, ujian dari iblis tampil untuk cuba merosakkan akidah Wali tersebut. Iblis datang menemui Wali Besar dan menyatakan dirinya malaikat Jibril dan membawa buraq (kenderaan yang ditunggang oleh nabi Muhammad s.a.w. tatkala mikraj) untuk membawa Wali tersebut ke hadrat Allah swt.

Mendengarkan itu, Wali tersebut pun tahu bahawa apa yang ada dihadapannya cuma iblis dan syaitan kerana Jibril dan buraq datang ke dunia hanya kepada nabi Muhammad s.a.w sahaja. Iblis itu gagal menggoda Wali tersebut, lalu ia berkata 'wahai kamu Wali Allah, kamu selama ini telah diselamatkan oleh ilmu kamu', Wali Allah itu dengan spontan berkata' Pergi kamu dari sini, jangan menggoda aku lagi, bukanlah ilmu aku yang menyelamat diriku, tetapi sebenarnya aku terselamat dari perangkap kamu melalui rahmat dan pertolongan Allah jua.

Iblis terus beredar dari situ dan bertekad akan menggoda Wali itu lagi. Suatu ketika Wali Allah itu berada dalam hutan belantara tanpa makanan dan minuman sekian lama. Tiba-tiba datang awan, lalu turun hujan, dengan ini dapatlah Wali tersebut menghilangkan dahaganya. Dengan tidak semena-mena datang satu lembaga yang bersinar lalu berkata 'aku ini tuhan kamu, sekarang aku halalkan segala yang haram untuk kamu'.

Setelah mendengar kata-kata lembaga itu, lalu Wali Allah menyebut,' Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang kena rejam', serta merta lembaga itu bertukar menjadi awan semula dan berkata 'dengan ilmu kamu dan rahmat Allah, kamu telah terselamat dari tipu helah aku'.

Sebelum Iblis itu beredar, iblis tersebut bertanya kepada Wali Allah, bagaimana beliau boleh mengenal dirinya itu iblis atau syaitan. Wali Allah itu memberi jawapan kepada iblis, bahawa ketika dia (iblis) mengaku dirinya Tuhan dan menghalalkan segala yang haram, kenyataan itulah membuatkan dirinya (Wali Allah) dapat membuat perbedaan sebenarnya, kerana Allah swt. tidak menghalalkan segala yang haram.

No comments:

Post a Comment