Tuesday, June 8, 2010

Ratib Ghaib.




Salam hormat dan rahayu.


Zikir itu ratib, ratib itu sebut, menyebut kata-kata pujian kepada Tuhan berulangkali, ada zikir yang sebutannya ditentukan jumlah ulangannya, selalunya kata-kata ulangan itu berfokus, memuji dan berunsurkan ketuhanan. Bagi mereka yang mahukan tahap ketenangan jiwa yang mantap tidak mengira bangsa dan agama, mereka mencari jalan untuk mendapatkannya, antaranya berzikir, beryoga atau bermeditasi, dan tapa brata.



Setiap ajaran agama mahukan penganutnya melakukan kebaikan, setiap penganut tidak kira apa jua bangsa dan kaum perlu melakukan ibadah dengan memperbanyakkan berzikir atau ratib agar dapat hampir dan bersatu dengan Tuhan. Sudah tentu ada kaedah atau prosedur untuk berzikir atau ratib, terutama mengamal ratib ghaib. Setiap pengamal perlu ada tunjuk ajar daripada guru yang mursyid dan arif.


Sebelum mengamal ratib atau zikir tertentu, seseorang itu perlu suci diri, ikhlas dalam sebarang perbuatan, mendapat restu dan ijazah daripada guru yang mursyid, dan patuh dengan ajaran guru. Apakah seseorang itu memerlukan tumpuan diri atau konsentrasi semasa mengamal ratib ghaib?



Adakah tumpuan diri itu ada persamaan dengan kaedah hipnosis kendiri semasa menjalani ratib? pada penulisan akan datang saya akan cuba memberi penjelasan mengenai perkara ini, insyaAllah.

Friday, June 4, 2010

Perlukah Pisau?




Salam hormat dan rahayu.



Parang, keris, pedang, kayu, dan pisau adalah salah satu daripada senjata yang digunakan dalam mempelajari seni beladiri. Seni silat juga adalah salah satu antara seni beladiri yang mengajar kemahiran menggunakan senjata.


Pisau yang berfungsi antaranya memotong, menghiris, dan menikam diguna pakai dalam mempelajari ilmu mempertahankan diri. Untuk menguasai permainan senjata seperti pisau ini, seseorang itu memerlukan tunjuk ajar daripada guru yang pakar dan arif dalam bidang tersebut.






Pisau boleh didapati dimana-mana dan senang memperolehnya, orang yang bijaksana akan memilih pisau yang sesuai dengan dirinya. Perlu kaji jenis besi dan kesempurnaan pisau tersebut, begitu juga dalam memilih keris, pedang, dan runcing aceh.

Wednesday, June 2, 2010

Seni Silat dan Keunikannya.




Salam hormat dan rahayu.


Seni mempertahankan diri terutama seni silat dipertandingkan bukan saja di peringkat sekolah, daerah, negeri, dan kebangsaan, malah juga di arena antarabangsa. Seni mempertahankan diri ini dipertandingkan kepada dua kategori iaitu silat olahraga, dan silat seni. Setiap seni bela diri yang dipertandingkan itu ada keunikannya tersendiri.



Perasmian Kejohanan Silat Seni Peringkat ASEAN

Ada beratus jenis silat seni yang boleh dipelajari oleh semua peringkat di negara ini. Aku ingin fokuskan kepada keindahan dan kehebatan silat seni. Setiap seni ada keindahannya atau dengan kata lain ada nilai-nilai estetik, antaranya rahsia pergerakan setiap langkah atau jurus, rahsia detik, saat dan ketika, sewaktu mematikan langkah, dan gerak hati kebatinan dalam diri seseorang itu.


Kejohanan Silat Olahraga.

Apakah dalam setiap gerak ada maksudnya tertentu? jika tersalah langkah sudah pasti silaplah gerak alunannya, memang benar, gerak zahir dan batin perlu ada keselarasannya, kerana satu itu kepada yang banyak, dan yang banyak itu kepada satu. Apa bezanya seni silat dan pencak silat, apakah pula yang dimaksudkan langkah bersilat dan berpencak, adakah ia ada persamaan, atau berkemungkinan mempunyai pati rahasianya masing-masing?


Pernah aku menyaksikan beberapa persembahan seni silat dan seni silat kebatinan, persembahan kumpulan tersebut sangat menarik dan terlalu unik, kata orang lama, seni itu abstrak, terlalu subjektif dan kemuncaknya ada nilai-nilai keindahan yang tinggi dan menuju kepada ketuhanan jua.

Pentingnya Pengisian Kerohanian






Salam hormat dan rahayu.



Menentang kebatilan dalam bentuk apa jua pun, seseorang itu perlu mempunyai semangat dan ilmu kerohanian dan kebatinan yang tinggi serta mantap dalam menguasai dirinya. Menguasai diri di sini bermaksud seseorang itu dapat mengawal emosi, memanfaatkan ilmu yang dipelajari ke jalan yang benar, sentiasa berjiwa besar tetapi merendahkan diri, tidak gah dan tidak sombong serta berdisiplin.






Berjuang terus berjuang terutama menegakkan agama, maruah diri dan bangsa, serta sanggup mempertahankan negara dari dijajah oleh orang lain walaupun nyawa menjadi pertaruhannya. Sekiranya tidak berani menanggung risiko, usahlah mendabik dada sebagai pejuang agama dan bangsa. Ketika zaman British memerintah Tanah Melayu, ramai pejuang dan pemimpin berjuang menentang untuk mendapatkan kebebasan rakyat dan mahukan kemerdekaan walaupun risikonya begitu tinggi.







Sebagai contoh zaman kepahlawan Mat Kilau, Tok Gajah, Mat Lela, Tok Bahaman berjuang berhabis-habisan menentang penjajah kerana menindas rakyat, mengaut keuntungan sumber bumi watan. Ramai orang penting British tunggang langgang, ada yang dibunuh, ada yang balik ke negeri asal kerena hebatnya pejuang rakyat bertindak ke atas mereka.




Dewasa ini di kebanyakan tempat diserata dunia, rakyat setempat telah celik akal dan berani memperjuangkan yang hak demi keutuhan kedaulatan negara masing-masing. Bagaimana ini boleh berlaku? sudah tentu banyak faktor, antaranya melalui pendidikan, pergolakan politik, dan pergerakan iklim ekonomi serta iklim sosio-budaya.







Pengaruh konflik sesama pemimpin diluar atau di negara jiran juga sedikit banyak mempengaruhi pemikiran rakyat. Apa yang penting disini, setiap tindakan perlulah diperhalusi terlebih dahulu supaya tidak tersasar yang boleh mengakibatkan kehancuran keharmonian rakyat. Pengisian rohani pada setiap jiwa amatlah perlu diutamakan untuk menangkis apa jua sebarang fahaman yang negatif yang boleh mendatangkan mudarat pada diri dan negara.