Saturday, August 21, 2010

Ampuhnya Ilmu - Berfungsi?




Salam hormat dan rahayu.


Pelbagai kaedah atau cara digunakan oleh seseorang untuk memiliki kuasa ghaib dengan alasan, untuk menguasai ilmu pengasih, tidak mampan oleh sebarang senjata, ghaib dari pandangan manusia, kehendak seribu jadi, tidak dimakan usia, dan mempunyai pengaruh atau karisma dalam masyarakat.


Memiliki apa jua ilmu terutama dalam bentuk mistik perlu diyakini, diamal, dan dimanfaatkan untuk diri, keluarga, dan masyarakat. Selalunya ilmu yang sepuh dan ampuh berguna jika ia berfungsi untuk kebaikan manusia dan alam sejagat.


Dalam konteks ilmu kerohanian, dan ilmu kebatinan banyak amalan-amalan yang hilang begitu saja kerana sudah tidak dipraktikkan dan lupus ditelan oleh arus kemodenan dan kedangkalan akidah. Ilmu itu jika diyakin dan diamal pasti jadi, terpulang pada persepsi masing-masing.


Pejuang-pejuang kerohanian seperti Mat kilau, Tok Bahaman, Tok Janggut, Kiyai Salleh, Tok Kenali, dan ramai lagi berjuang menegakkan keadilan demi mempertahankan agama, maruah bangsa dan negara. Mereka sanggup mengorbankan harta benda dan nyawa asalkan hajat tercapai.





Kebanyakan mereka mempunyai amalan agama, kerohanian dan ketuhanan yang sangat ampuh dalam memperjuangkan dan menegak keadilan manusia sejagat. Wali 7 dan Wali 9 begitu gigih dan berjaya menegakkan ajaran Islam di kepulauan Indonesia.



Ramai dalam kalangan rakyat di negara ini mahupun di kepulauan Indonesia mengamal amalan-amalan yang berkaitan dengan kerohanian dan kebatinan Islam yang kesahihannya masih dipertikaikan oleh ulama-ulama Islam yang muktabar.