Friday, September 16, 2011

Sia-Siakah Perjuanganku?



 Salam Hormat dan rahayu
  

Aki Mat Kilau



Apakah aku berjuang untuk agama, bangsa, dan negaraku?


Setiap detik   pergolakan dan  perjuangan memerlukan pengorbanan. Setiap perjuangan pasti berani tanggung risiko. Apakah pejuang terdahulu untuk mengekalkan kedaulatan agama, bangsa, dan negara dikenang oleh rakyat dan para pemimpin negara. Kriteria yang bagaimanakah pejuang tersebut boleh digelar pahlawan atau wira negara. Mereka perlu berjuang berhabis-habisan untuk mempertahankan negara walaupun nyawa tergadai.  Yang penting anak bangsa akan hidup makmur dan tidak dalam ketakutan pada masa mendatang. 


Ada segelintir pejuang negara berkorban apa saja untuk mengekalkan kedaulatan negara. Mereka berjuang ke titisan darah yang terakhir tanpa memikirkan kemegahan. Malah pejuang Islam, dan setiap pejuang bangsa mempunyai keyakinan dan prinsipnya tersendiri. Jiwa akan terus bergolak pabila negara senantiasa dijajah. Kebebasan rakyat untuk hidup harmoni, dan penuh saling kasih sayang akan tetap terjejas. Dewasa ini jika tidak bersatu fikiran dan tidak saling bekerjasama dalam mengekalkan kedaulatan negara pasti negara akan hancur dijajah oleh musuh sama ada dalam bentuk politik, ekonomi, pendidikan, sosio budaya dan pentadbiran.



kiyai Hj Salleh
    





Pahlawan Mat Kilau, To' Bahaman, Tok Janggut, Kiyai Salleh, dan ramai lagi sanggup menggadai nyawa demi menghapus penjajah dan mengembalikan kedaulatan negeri sebagai negeri yang merdeka. Ketika itu negeri dijajah oleh British, hasil bumi dirampas begitu saja. Raja atau Sultan akur dengan pemerintahan British, malah melabel pahlawan terbilang tersebut sebagai penderhaka. Angkara siapa ini? cari jawapannya dalam fakta sejarah yang adakalanya mengelirukan.


Rakyat akhirnya akan dapat menilai yang mana baik dan sebaliknya. Usah cerita perihal pembela nasib rakyat semasa sebelum merdeka maupun waktu kini, kerana sesuatu itu dalam pengetahuan yang Maha Kuasa. Ada pepatah mengatakan "silurus makanan sibenggkok, yang bodoh makanan sicerdik, dan yang lemah makanan sigagah" apakah benar? tepuk dada tanya akal sendiri.


"Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar." (Al-Hujarat : 15).

Tuesday, September 13, 2011

Mencari Perjuangan Hidup.



Salam Hormat dan rahayu





Ke arah mana perjuanganku?

Hidup ini perlu ada matlamat dan objektifnya tertentu, setiap insan, apa jua bangsa dan agama sangat memerlukan keamanan dan ketenangan. Perlu saling hidup harmoni, menghormati sesama sendiri dan tidak saling prejudis. Manusia secara fitrahnya mahukan kebahagiaan bekeluarga, kebahagiaan berkomuniti, dan mengekalkan kemakmuran hidup.



Apa jua halangan, setiap insan ada hak untuk hidup makmur tanpa merosakkan orang lain. Orang akan marah sekiranya hak mereka tercabul, hak mereka dipertikaikan, hak mereka tidak diberi secara adilnya, dan kepada siapa mereka akan mengadu untuk mententeramkan situasi yang tunggang langgang ini. Apakah kebanyakan manusia saling menghormati dan bertolak ansur untuk mencapai hidup yang harmoni?


Kepercayaan, keimanan, dan amalan agama amat penting bagi setiap jiwa untuk mengekalkan kebahagiaan jiwa. Memang, setiap agama menuntut penganutnya membuat kebaikan sesama sendiri, tidak mungkin sama sekali menghancurkan orang lain, kecuali hak dan kebebasan mereka tercabar. Tuhan tidak membinasakan manusia kecuali manusia itu sendiri mahukan begitu. Tidak berubah sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu sendiri mengubah nasibnya.

Hidup secara spiritual atau keruhaniah perlu diberi keutamaan supaya jiwa seseorang itu tidak kosong dan tidak mudah diperdaya oleh manusia lain. Kita mudah diperdaya oleh sifat keiblisan atau kesyaitanan jika tidak mempunyai tauhid yang kukuh.


"Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai Dinn (peraturan hidup) maka sesekali tidak diterima dan ia di akhirat kelak dari golongan mereka yang rugi." (Al Imran: 85).

Friday, February 25, 2011

Zikir Akhfal Khafi.


Salam hormat dan rahayu.


"Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah sebagaimana yang ditunjukkanNya kepadamu". Al Baqarah: 194. justeru memberi petunjuk pada martabat zikirmu. Setiap maqam memiliki martabat masing-masing, jahar maupun khafi. Orang yang zikirnya zikir lisan, bererti diberi petunjuknya sampai kepada zikir lisan. Orang yang berzikir dengan zikir khafi, bererti diberi petunjuknya sampai kepada zikir hati, begitu juga orang yang berzikir dengan zikir roh, pasti sampai kepada zikir roh.


seterusnya kepada zikir khafi dan 'akhfal khafi'. akan kembali kepada zikir lisan, kerana lisan berfungsi sebagai pemberi peringatan kepada hati, terhadap zikir yang dilupakannya. Zikir 'nafs' ialah zikir yang tidak didengar, zikir tanpa huruf tanpa suara, hanya didengar dengan indera dan gerakan dalam batin. Adapun zikir hati ini adalah zikir mudawwamah (berterusan) hati dalam hati dengan Jalaliyah dan Jamaliyah. Justeru hasil daripada zikir roh pula adalah menyaksikan cahaya Tajalli Sifat.


berzikir dan semedi
Zikir Sirr ialah zikir ke arah terserlah rahasia Ilahiyah. Adapun zikir khafi pula terarah pada cahaya keindahan zat Yang MahaTunggal di Maq' di Sidqin Muqtadir'. Manakala zikir Akhfal Khafi ialah zikir yang mampu melihat hakikat Haqqul Yaqin dan tidak ada satu pun yang dapat mengetahuinya kecuali Allah s.w.t. "Allah mengetahui sirr dan akhfah". (Thaha: 7).


Orang yang telah mencapai darajat zikir akhfal khafi, bererti telah mencapai titik roh terakhir yang lebih halus daripada roh-roh lainnya, iaitu Tiflul Ma'ani. Ia adalah latifah yang selalu mengajak kembali kepada Allah. Sebahagian ahli sufi besar mengatakan bahawa roh yang seperti ini tidak dimiliki oleh sembarang orang, hanya orang yang khawas yang memperolehnya,


"Allah menetapkan roh atas perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya diantara hamba-hambaNya". (Al-Mu'min: 15). "Ingatlah Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi". (Al-Imran: 191).

Tuesday, February 15, 2011

Tasauf (2) : Pengertian dan Perspektif.


Salam hormat dan rahayu.




Saya meneruskan penulisan ini berkaitan dengan pengertian dan perpesktif "Tasauf" berdasarkan penulisan As-Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani melalui kitabnya berjudul Sirrul Asrar. Penulisan lalu difokuskan kepada huruf 'Ta' dan 'Shad' dalam konteks perkataan Tasauf, kini difokus pula pada huruf 'waw'. Adapun huruf 'waw' diambil dari kata atau lafaz wilayah, dan merupakan untaian dari 'tasfiyah' (pembersihan).


"Ingatlah, sesungguhnya para wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak(pula) mereka bersedih hati". (Yunus : 6).


Mereka mendapat khabar gembira di dunia dan di akhirat, serta mendapat wilayah iaitu berakhlak dengan akhlak Allah. Rasul bersabda : "berakhlaklah kamu sekalian dengan akhlak Allah". Seorang Salik hanya dapat masuk pada sifat-sifat Allah bila telah menghilangkan sifat 'Basyhariyah".


"Bila Aku mencintai seseorang hamba, maka Aku akan menjadi pendengarannya, penglihatannya, lidahnya, tangan dan kakinya. Maka olehKu dia mendengar, olehKu, dia melihat, olehKu dia bicara, olehKu dia marah dan olehKu dia berjalan".


Wahai saudara-saudaraku, bersihkanlah dirimu dari selain Allah Tabaraka Wa Ta'ala. Firman Allah : "Katakanlah: "Yang Haq telah datang dan yang batil telah luput. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti luput." Bila seseorang itu telah mencapai sifat ini, maka berarti dia telah menyelesaikan tingkat huruf 'waw'.


Huruf 'Fa' pula diambil dari lafaz fana, ertinya peleburan diri pada Allah. Bila seseorang salik telah melebur sifat basyhariahnya, maka yang tinggal adalah sifat ahadiyat. Sifat ahadiyat adalah sifat Allah yang tidak akan rosak dan binasa. Justeru seseorang hamba yang fana denga Tuhannya, bererti dia pun kekal dengan mendapat Redha Allah.


"Tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah". (Al-Qasas : 88). Ahli Tasauf mentakwilkan ayat ini bahawa yang dimaksudkan dengan segala sesuatu akan hancur binasa kecuali zat Allah adalah manusia yang telah mendapat amal soleh yang bertujuan mendapat Redha Allah, maka yang diredhai akan selalu bersama dengan yang meredhai.

Saturday, February 12, 2011

Tasauf ( 1 ) : Pengertian dan Perspektif.


Salam hormat dan rahayu


Saya ingin menerangkan sesuatu berkaitan ilmu tasauf yang seharusnya setiap individu berhak mengetahui mengenainya. Justeru penulisan ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan pengetahuan pembaca. Saya cuba menerapkan penulisan ini berdasarkan terjemahan Kitab Sirrul Asrar nukilan oleh As-Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani (Fasal 6: Ilmu Tasauf).


Setiap individu boleh digelar sebagai ahli 'Tasauf' bila ia sudah membersihkan batinnya dengan cahaya Makrifat dan Tauhid, atau kerana mereka dinisbahkan kepada Ashabus-Suffiah (orang yang hidup di serambi masjid; bukan kerana miskin, tetapi mendekatkan diri kepada Allah dengan meninggalkan kehidupan dunia untuk sementara); atau juga kerana mereka memakai bahan pakaian dari bulu-bulu yang kasar. Bagi peringkat 'mubtadi' (tingkat dasar) adalah bulu domba, bagi peringkat menengah , bulu kambing, dan bagi peringkat terakhir adalah bulu 'mar'az' iaitu bulu yang paling halus. Begitu juga pada tahap batin tergantung kepada martabat ketinggian keadaannya. Makanan dan minumannya pun berbeza.


Dalam Tafsir Al-Mujma dijelaskan bahawa ahli zuhud (Hadrat Ahadiyat) makanan, minuman terkawal, dan pakaian mereka adalah kasar. Bagi ahli makrifat kesemuannya halus dan tidak melampaui batas dalam apa jua bentuk tindakan. tasauf terdiri dari empat huruf, iaitu, Ta'-Shad-Wau-Fa'. Huruf Ta' diambil dari perkataan taubat. Taubat terbagi kepada dua iaitu, taubat zahir dan taubat batin.


Huruf "shad'" diambil dari lafaz "Shafa'un" bermaksud bersih. Bersih terbahagi kepada dua, bersih hati dan bersih rasa. Bersih Hati ialah seorang yang 'salik' membersihkan hatinya dari kekotoran manusia (sifat basyhariyah) seperti syahwat-syahwat yang didorong oleh hati, antara contoh, banyak makan, minum, tidur dan berbicara, menyenangi benda dunia, seperti usaha yang berlebihan, bersetubuhan yang berlebihan, juga berlebihan dalam mencintai anak-anak dan keluarga. Untuk membersihkan hati dari sifat-sifat seperti ini hanya dapat dihasilkan dengan tetap melaksanakan zikrullah melalui talqin. Zikir jahar berlaku bagi mubtadi dan matinya sampai kepada peringkat khafiyah.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka". (Al-Anfal : 2).
Iaitu mereka takut kepada Allah. Rasa takut kepada Allah hanya akan tumbuh di dalam hati bila hatinya telah terbangun dari lupa dan hati yang telah dibersihkan. Bila hati telah dibersihkan, maka akan terpahat dalam hati gambaran ghaib dari kebaikan maupun keburukan. Nabi bersabda: "orang alim mengukir, sedangkan orang arif membersihkan". Adapun bersih rasa ialah dengan menjauhi segala sesuatu selain Allah dan mencintai Allah dengan terus menerus melaksanakan Asma Tauhid dengan lisan rasa di dalam rasa. Bila sifat ini telah tercapai, maka salik bererti mencapai maqam huruf "Shad'".

Saturday, October 30, 2010

Apakah Sebabnya Kita Memerlukan Kebatinan?







Salam hormat dan rahayu.






Majalah Suara Kebatinan, jilid II 1961, asalnya daripada penulisan Prof. Mohammad Muhsin Jayadiguna (Harian Kedaulatan Rakyat, Jogjakarta: 7 Dis. 1960); antara penulisannya menyentuh aliran-aliran kebatinan yang dianuti oleh kebanyakan penduduk Jawa. Antara penulisannya menyentuh:

"Para pemimpin ulama kebanyakannya kurang memperhatikan tentang soal kebatinan dan tidak bersedia ke arah merumuskan prinsip-prinsip ideologinya dalam beberapa prinsip yang sederhana tetapi merupakan prinsip-prinsip asas, yang mudah dipergunakan sebagai pegangan teras bagi seseorang insan. Justeru ia harus menentukan personalitinya, penuturannya terhadap sesama manusia dan Tuhan dalam menghadapi berbagai kesulitan-kesulitan yang diketemui dalam kehidupan seharian".

Pendapat Prof. M.M. Jayadiguna berkisar pada umumnya, berkaitan pegangan dan kepercayaan seluruh penduduk di Tanah Jawa. Kebanyakan para ulama lampau dan rakyat Jawa mempelajari selok belok agama melalui pesantren-pesantren yang kebanyakannya kitab-kitab dikarang orang sejak dua atau tiga abad yang lalu. Isinya banyak yang hanya merupakan pelajaran bahasa Arab, rukun-rukun fiqih atau kepercayaan dengan method yang usang.



Dengan pengajaran atau method yang usang itu, jiwa Islam tidak dapat mereka rasakan, apatah lagi menghayatinya. Yang mereka rasakan hanya merupakan formalitas semata-mata. Banyak diantaranya merupakan ilmu ghaib, ada yang ilmu sesat, tahyul, dan terima seadanya tanpa kritis. Justeru kebanyakan mereke gunakan agama sebagai senjata untuk mendapat kedudukan atau status dalam masyarakat. Mereka tidak segan silu mempergunakan kepercayaan rakyat untuk mengukuhkan kedudukan dan memonopoli kekayaan semata-mata untuk kepentingan sendiri.


Mengenai la vie interieuri (hidup dalam keruhanian) tidak pula kebanyakan mereka utamakan. Dalam literatur Jawa, sering terdapat gambaran tentang para ulama gadungan. Antara contoh, dari kitab Wedotomo, tembang Sinom:


Garonge pada kopyahan

Saben sore lunga ngaji

Salendang sajadah anyar

Bakyake teklak teklik

ndedonga karo nangis

mrih leburing dosanipun

Yen dalu salat hajat

Tobat nasuka ranipun

analongsa nyuwun pangapuring suksma

 


bermaksud:

Garongnya memakai kopiah

tiap sore pergi ngaji

memakai selendang sajadah baru

banyaknya berbunyi teklak teklik

berdoa serta menangis

agar dosanya lebur

diwaktu malam sembahyang hajat

iaitu yang dinamakan Taubat Nasuha

merintih minta ampun daripada Tuhan.


Akan tetapi rupanya hal yang semacam atau seperkara ini bukan saja terjadi pada mereka yang memakai kopiah, malah mereka yang lain yang terdiri dari pelbagai pangkat dan gelaran, serta kebanyakan rakyat.

Friday, September 17, 2010

Usah Berjiwa Kotor.




Salam hormat dan rahayu.


Setiap individu berhak menentukan fahaman, kepercayaan, dan agama masing-masing. Apa jua agama yang dianut, seseorang itu perlu mempunyai keyakinan dan akidah yang mantap untuk capai makam jiwa yang tertinggi. Apakah seseorang itu tidak kira apa jua bangsa, kepercayaan, dan agama dapat menguasai kerohanian yang tinggi? Apakah penguasaan kerohanian ini dapat memberi impak yang positif pada diri sendiri mahupun kehidupan orang lain?


Cuba kita lihat diri dan hati masing-masing, adakah kesemuanya ini memberi manfaat yang berkesan dan berfungsi dalam kehidupan harian, apakah seseorang itu dapat menilai sejauh mana diri ini dapat menguasai diri dalam apa jua keadaan dan tabah menghadapi sebarang dugaan? Jika seseorang itu hilang sifat tabah, maka hilanglah keberanian untuk menghadapi sebarang risiko apatah lagi meneruskan perjuangan yang belum selesai.





Apa jua anutan agama, setiap agama mahukan penganutnya meningkatkan kerohanian dan membersih jiwa agar saling berbaik sangka, saling membantu, bermoral tinggi, tidak melampaui batas, dan menghormati kepercayaan dan agama orang lain. Justeru, usah prejudis dan menimbulkan konflik dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum, bangsa, dan kepercayaan agama.


memiliki rumah mewah


Manusia sanggup berbunuhan kerana motif tertentu, antaranya pemilikan harta, menguasai kedudukan atau pangkat yang tinggi (status dalam masyarakat), urusniaga yang tidak jujur, keegoan pemimpin yang bersifat diktator, dan mempunyai jiwa yang kotor. Jiwa yang kotor sanggup lakukan apa jua untuk capai matlamat tertentu walaupun mengkhianati rakan seperniagaan, menipu, seterusnya melakukan perkara yang tidak berperikemanusiaan.