Saturday, February 12, 2011

Tasauf ( 1 ) : Pengertian dan Perspektif.


Salam hormat dan rahayu


Saya ingin menerangkan sesuatu berkaitan ilmu tasauf yang seharusnya setiap individu berhak mengetahui mengenainya. Justeru penulisan ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan pengetahuan pembaca. Saya cuba menerapkan penulisan ini berdasarkan terjemahan Kitab Sirrul Asrar nukilan oleh As-Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani (Fasal 6: Ilmu Tasauf).


Setiap individu boleh digelar sebagai ahli 'Tasauf' bila ia sudah membersihkan batinnya dengan cahaya Makrifat dan Tauhid, atau kerana mereka dinisbahkan kepada Ashabus-Suffiah (orang yang hidup di serambi masjid; bukan kerana miskin, tetapi mendekatkan diri kepada Allah dengan meninggalkan kehidupan dunia untuk sementara); atau juga kerana mereka memakai bahan pakaian dari bulu-bulu yang kasar. Bagi peringkat 'mubtadi' (tingkat dasar) adalah bulu domba, bagi peringkat menengah , bulu kambing, dan bagi peringkat terakhir adalah bulu 'mar'az' iaitu bulu yang paling halus. Begitu juga pada tahap batin tergantung kepada martabat ketinggian keadaannya. Makanan dan minumannya pun berbeza.


Dalam Tafsir Al-Mujma dijelaskan bahawa ahli zuhud (Hadrat Ahadiyat) makanan, minuman terkawal, dan pakaian mereka adalah kasar. Bagi ahli makrifat kesemuannya halus dan tidak melampaui batas dalam apa jua bentuk tindakan. tasauf terdiri dari empat huruf, iaitu, Ta'-Shad-Wau-Fa'. Huruf Ta' diambil dari perkataan taubat. Taubat terbagi kepada dua iaitu, taubat zahir dan taubat batin.


Huruf "shad'" diambil dari lafaz "Shafa'un" bermaksud bersih. Bersih terbahagi kepada dua, bersih hati dan bersih rasa. Bersih Hati ialah seorang yang 'salik' membersihkan hatinya dari kekotoran manusia (sifat basyhariyah) seperti syahwat-syahwat yang didorong oleh hati, antara contoh, banyak makan, minum, tidur dan berbicara, menyenangi benda dunia, seperti usaha yang berlebihan, bersetubuhan yang berlebihan, juga berlebihan dalam mencintai anak-anak dan keluarga. Untuk membersihkan hati dari sifat-sifat seperti ini hanya dapat dihasilkan dengan tetap melaksanakan zikrullah melalui talqin. Zikir jahar berlaku bagi mubtadi dan matinya sampai kepada peringkat khafiyah.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka". (Al-Anfal : 2).
Iaitu mereka takut kepada Allah. Rasa takut kepada Allah hanya akan tumbuh di dalam hati bila hatinya telah terbangun dari lupa dan hati yang telah dibersihkan. Bila hati telah dibersihkan, maka akan terpahat dalam hati gambaran ghaib dari kebaikan maupun keburukan. Nabi bersabda: "orang alim mengukir, sedangkan orang arif membersihkan". Adapun bersih rasa ialah dengan menjauhi segala sesuatu selain Allah dan mencintai Allah dengan terus menerus melaksanakan Asma Tauhid dengan lisan rasa di dalam rasa. Bila sifat ini telah tercapai, maka salik bererti mencapai maqam huruf "Shad'".

No comments:

Post a Comment