Thursday, December 31, 2009

Zuhudkah Aku?

BersamaTok Ayah


 
Selamat hormat dan rahayu,

Zuhud selama ini diertikan sebagai meninggal dunia untuk akhirat. Oleh kerana zuhud dimaksudkan begitu, maka sering kali kaum sufi dan pengamal tarekat dianggap tidak mementingkan kehidupan duniawi. Akibat faham tersebut , ianya membawa kepada kemunduran Islam dan umatnya, serta ketinggalan dan hidup miskin.

Bagi pendapat Abah Anom (KHA. Shohibulwafa Tajul Arifin, Sesepuh Pondok Pesantren Suryalaya), bahawa pemahaman seperti ini merupakan pemahaman yang keliru. Akibat kekeliruan faham tersebut, maka seorang sufi digambarkan sebagai seorang yang berpakaian compang-camping dan kehidupannya bersahaja.

Untuk menolak pendapat seperti itu, melalui pandangan Sufyan al-Tsauri, Abah Anom menjelaskan bahawa zuhud bererti qasr al-'amal, iaitu pendek angen-angen (bahasa sunda), tidak banyak menghayal dan perlu bersikap realistis. Zuhud bukan bermaksud makan ala kadarnya dan bukan pula berpakaian compang-camping.

Kezuhudan seseorang itu tidak hanya terletak pada kesederhanaan pakaian dan makanan. Akan tetapi, terletak kepada kezuhudan kalbunya. Keutamaan bagi seorang sufi ialah harus bersih batinnya. Kebersihan tersebut membawa kebersihan dan kesucian lahirnya. Seorang sufi harus bersih sirr, qalb, nafs, dan jawarih. Begitu juga, jasad dan seluruh anggota tubuh badannya.

Zuhud bukan bermaksud seseorang itu harus meninggalkan duniawi, malah perlu juga menguasai dan mengendalikan kehidupan duniawi serta kalbunya pula bergantung kepada akhirat.

" Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi." (Al-Munafiqun : 9).

Monday, December 28, 2009

Semangat Juang.


Salam hormat dan rahayu,

Jihad fi sabilillah, sesiapa pun boleh menyebutnya, praktikalnya tergantung pada diri sendiri. Malah lain orang, lain pula persepsi mengenai fi sabilillah ini. Ada yang memperjuangkan sesuatu dengan jalan ketuhanan, ada yang juga melaungkan kebenaran lalu berjuang melalui tinta dan seni, melalui pemberontakan, melalui rapat umum, dan meja perundingan. Apa pun motif, yang nyata kita perlu berjuang melalui saluran tertentu dan bijaksana dalam menuntut sebarang keadilan.


Rakyat Palestine tidak jemu-jemu, berterusan menentang Israel untuk mendapatkan hak kemanusiaan dan bumi mereka, begitu juga di negara kita, suatu ketika dulu pernah rakyat bangkit menentang penjajahan British, Jepun dan kezaliman kominis. Semangat patriotisme dan semangat jihad rakyat, akhirnya dapat membantu membebaskan negara ini dari cengkaman maut penjajahan yang ingin bertapak dan berkuasa selama-lamanya.


Berjuang dengan jalan Allah untuk mendapatkan keadilan dan kebenaran perlu mempunyai tahap kerohanian dan kebatinan yang teguh, perlu juga ada komuniti yang sanggup berkorban apa saja. Berjuang atas jalan Allah tidak semestinya dengan menggunakan mata pedang, peluru berpandu, atau senjata nuklear, malah boleh juga melalui pemikiran, penulisan, media, idea, harta benda, bimbingan pendidikan, ekonomi, dan menerusi kepemimpinan pemimpin yang adil dan bijaksana.

Saturday, December 26, 2009

Pesan Wali - Hindar Nafsu Badaniah.



ayah man wali
Salam hormat dan rahayu,

Setiap anutan, ajaran dan kepercayaan agama, mementingkan tingkat peningkatan kerohanian penganutnya. Setiap penganut apa jua agama boleh pertingkat kerohaniannya melalui beberapa cara, antaranya yang paling penting sekali ialah bersih jiwa, hindar nafsu badaniah, bertafakur atau bersemedi, berpuasa, fokus pada keyakinan yang tinggi, dan tauhid yang kukuh.

Seorang Wali Allah melalui ceramah sufinya, dalam Kitab Fatuhul Ghaib, syarahan yang ke tujuh, ada menyebut mengenai betapa pentingnya menghindar nafsu badaniah, antara petikannya adalah seperti berikut :

"...keluarlah dari diri kamu sendiri dan serahkan segalanya kepada Allah. Penuhkan hatimu dengan Allah. Patuhlah pada perintahNya dan larikan diri dari laranganNya agar nafsu badaniah kamu tidak memasuki hati kamu. Untuk membuang nafsu-nafsu badaniah dari hatimu, kamu hendaklah berjuang melawannya, dan jangan kamu menyerah kepadanya dalam semua keadaan dan masa.

Justeru janganlah berkehendak kepada sesuatu yang bukan kehendak Allah. Permintaan kamu yang bukan kehendak Allah adalah kehendak nafsu badaniah. Kehendak ini jika diturut, akan merosak diri kamu dan menjauhkan kamu daripada Allah. Bertawakkallah kepadaNya, dan jangan sekali-kali syirik kepada Dia. Allah yang menjadikan nafsu dan kehendak kamu."


Barang siapa bercadang hendak bertemu dengan TuhanNya, hendaklah beramal soleh dan jangan sama sekali sekutukan Allah dengan apa jua.

Tuesday, December 15, 2009

Zaman Edan (Pekewuh)





Salam hormat dan rahayu,

Pejuang tulen tidak akan tewas dengan material, tidak akan tewas dengan dambaan nafsu, malah dalam apa jua situasi terutama melalui zaman edan atau gila, pasti menghadapi sebarang sukar atau sulit dalam mencari akal ikhtiar. Pejuang di sini bukan saja bermaksud pejuang dalam medan pertempuran, malah lebih dari itu, antaranya pejuang rakyat, pejuang agama, pejuang seni, pejuang bangsa dan negara, termasuk pejuang kebenaran dan keadilan tidak akan henti-henti berjuang untuk mencapai matlamatnya. Perjuangan perlulah dengan disertai tahap kerohanian yang tinggi.



terus berjuang

Saya terbaca beberapa penulisan dalam  'Serat Sabda Jati' dimana ada menjelaskan perkara berkaitan dengan zaman yang serba sulit (sukar) atau edan, dengan kata lain, disebut zaman pekewuh atau kalabendu. Antara kalimah-kalimahnya disebut sebagai berikut:

" orang-orang dalam zaman pakewuh (edan), kerendahan budinya makin menjadi-jadi, kekacauan bertambah, banyak orang berhati sesat (buruk), melanggar peraturan yang benar, kesetiaan sudah tiada terlihat. Bagi orang yang tahu akan kebenaran, dalam hati terasa ewuh (bingung), apabila tidak turut berbuat sesat, hidupnya akan menjadi merana, kalau ikut pula akan menjadi rendah budi pekertinya.

Justeru tindakan seperti itu, bermaksud tidak percaya akan kemurahan dan kekuasaan Tuhan, yang mencipta segala sesuatu. Apabila memohon dengan bersungguh hati, pasti mendapat anugerah dari kemurahan atau rahmat Tuhan. Tuhan mengabulkan semua permohonan, apabila disertai kesungguhan, Allah pasti memberi pertolongan, tidak akan kekurangan makan serta pakaian. Segala yang diingini akan terlaksana ".

Petikan di atas ini, menggambarkan sifat segolongan orang atau pemimpin, yang mengambil kesempatan dalam zaman edan, yang mengabdi hawa nafsunya. Petikan ini juga memberi pengajaran dan kesadaran buat masyarakat agar berpegang teguh dengan takdir dan rahmat Tuhan.

Saturday, December 12, 2009

Tuhan dari akarkata " tuh ".


Salam hormat dan rahayu,

Saya ingin berkongsi maklumat, dan bertukar fikiran berkaitan apa jua isu kebatinan dan kerohanian bersama pembaca. Justeru sekiranya pembaca blog ini ingin mencetuskan minda, dan meluahkan pengalaman bolehlah memberi sebarang komen dan ulasan yang membina.

Saya ada membaca Kitab Mantra Yoga, Ki Trunarimong dalam bahasa Jawa dan Sanskrit berkaitan asal perkataan Tuhan dari akar kata umbi "tuh". Saya cuba menterjemah perkara tersebut untuk memudahkan kefahaman pembaca, dan memanfaatkannya.

Beberapa sebutan teks berkaitan Kitab Mantra Yoga dapat saya terjemahkan, untuk renungan pembaca, antaranya;

"Kepercayaan menurut tinjauan hidup kesaktian kepada Sang Hiyang sebagai Tuhan Yang Maha Kuasa melarang kita berpemandangan, bahawa pendirian keesaan Tuhan (monotheisme) itu ialah hasil yang paling akhir dari kecerdasan dasar-dasar yang sederhana.

Pengarang Andrew Lang dalam bukunya 'The Making of Religion (1909, cetakan 3)' telah menjelaskan bahawa perasaan kepada keesaan Tuhan itu memang sudah ada pada beberapa bangsa yang rendah tingkat kecerdasannya.

Seorang pengarang, P.W. Schmidt, dalam bukunya " Der Ursprung Der Gotteesidee " telah menguatkan pendiriaan itu dengan bantuan penyelidikan ilmu bangsa. Dengan tidak berpihak kepada pemikiran pengarang-pengarang, dan pengikut aliran lingkaran kebudayaan (kulturkreist). Justeru beliau berpendapat pula, bahawa tinjauan hidayat kesaktian orang umum memberi tempat yang luas bagi susunan keagamaan dan kepercayaan kepada faham keTuhanan Yang Esa.

Istilah TUHAN YANG - ESA seperti dipakai dalam PEMBUKA KONSTITUSI 1945 dan Mukaddimah Konstitusi Republik Indonesia 1950 untuk menyatakan Allah Yang Maha Tinggi menurut fahaman monoteisma memang mula-mulanya masuk terhitung kepada tinjauan hidayat kesaktian, - Tuh, Yang dan Esa, bermaksud Tunggal, nyata tersimpan didalamnya, serta dipakai dan diterima dalam zaman peralihan agama dan peradaban untuk menyatakan Allah menurut ajaran Kesatuan Tuhan dan ajaran Tauhid agama Islam. (Tatanegara Majapahit Sapta Perwa I, oleh Prof. H. M. Yamin, p.75).

"Tiada Tuhan selain Allah, Dialah Tuhan satu-satunya, tidak ada sekutu bagiNya, bagiNyalah segala kekuasaan dan segala pujian, dan Dia Maha berkuasa atas segala sesuatu."

Monday, December 7, 2009

Ujian Wali - renungan pembaca.


Salam hormat dan rahayu,

Sebaik saja Wali Allah itu telah menamatkan latihan rohaniahnya, ujian dari iblis tampil untuk cuba merosakkan akidah Wali tersebut. Iblis datang menemui Wali Besar dan menyatakan dirinya malaikat Jibril dan membawa buraq (kenderaan yang ditunggang oleh nabi Muhammad s.a.w. tatkala mikraj) untuk membawa Wali tersebut ke hadrat Allah swt.

Mendengarkan itu, Wali tersebut pun tahu bahawa apa yang ada dihadapannya cuma iblis dan syaitan kerana Jibril dan buraq datang ke dunia hanya kepada nabi Muhammad s.a.w sahaja. Iblis itu gagal menggoda Wali tersebut, lalu ia berkata 'wahai kamu Wali Allah, kamu selama ini telah diselamatkan oleh ilmu kamu', Wali Allah itu dengan spontan berkata' Pergi kamu dari sini, jangan menggoda aku lagi, bukanlah ilmu aku yang menyelamat diriku, tetapi sebenarnya aku terselamat dari perangkap kamu melalui rahmat dan pertolongan Allah jua.

Iblis terus beredar dari situ dan bertekad akan menggoda Wali itu lagi. Suatu ketika Wali Allah itu berada dalam hutan belantara tanpa makanan dan minuman sekian lama. Tiba-tiba datang awan, lalu turun hujan, dengan ini dapatlah Wali tersebut menghilangkan dahaganya. Dengan tidak semena-mena datang satu lembaga yang bersinar lalu berkata 'aku ini tuhan kamu, sekarang aku halalkan segala yang haram untuk kamu'.

Setelah mendengar kata-kata lembaga itu, lalu Wali Allah menyebut,' Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang kena rejam', serta merta lembaga itu bertukar menjadi awan semula dan berkata 'dengan ilmu kamu dan rahmat Allah, kamu telah terselamat dari tipu helah aku'.

Sebelum Iblis itu beredar, iblis tersebut bertanya kepada Wali Allah, bagaimana beliau boleh mengenal dirinya itu iblis atau syaitan. Wali Allah itu memberi jawapan kepada iblis, bahawa ketika dia (iblis) mengaku dirinya Tuhan dan menghalalkan segala yang haram, kenyataan itulah membuatkan dirinya (Wali Allah) dapat membuat perbedaan sebenarnya, kerana Allah swt. tidak menghalalkan segala yang haram.

Saturday, December 5, 2009

Makam Keramat?


Salam hormat dan rahayu,
Jangan sama sekali menduakan Allah swt dalam melakukan ibadah kepadaNya. Betulkan akidah kamu, sucikan fikiran dan hati kamu, Tauhidlah kepadaNya tanpa ragu-ragu. Justeru kamu dapat meningkatkan ilmu kerohanian dan kebatinan, serta mendapat cahaya ketuhanan tanpa henti.

Masih terdapat dalam kalangan penganut agama Islam yang menduakan Tuhan dengan memuja tempat-tempat yang dianggap keramat untuk mendapatkan sesuatu. Malah mereka yakin perkara tersebut boleh menunai hajat mereka. Perlu ingat, apa yang dianggap keramat, antaranya kubur, perigi, rumah, senjata, batu, dan apa saja di alam ini adalah benda yang baharu, benda yang baharu atau benda yang kena jadi tidak boleh memberi bekas, yang boleh memberi bekas hanya Allah swt.

Bahagialah hati, tenanglah jiwa bila kamu dapat dan mengekalkan tauhid kepadaNya. Sesuatu itu tidak dapat memudharat dan membinasakan kamu tanpa izin Allah swt. Justeru pegang teguhlah kepercayaan kamu kepadaNya.

Apakah kubur atau mana-manan makam yang dianggap keramat boleh memberi bekas dan dapat menyampaikan hajat? Ingat, hanya Allah swt yang Maha Pemakbul segala doa, kepada Allah kita sembah, dan kepadaNya kita mohon pertolongan.

"Dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalan beribadat kepada Tuhannya". ( Surah Al Kahfi : 110).

Thursday, December 3, 2009

Matikan Diri Kamu.


Salam hormat dan rahayu,
Kebanyakan para Wali Allah menulis hanya untuk tatapan dan pengajaran kepada umum, ini tergantung kepada taraf atau martabat seseorang. Sebagai contoh Wali Allah Syeikh Abdul Kadir, telah menulis banyak perkara yang menyentuh berunsur mistik atau kebatinan. Beliau adalah seorang ahli sufi dan Wali Allah besar.

Para sufi lebih mementingkan hal-hal kerohanian, jiwa, hati, kabatinan, dan perkara yang ghaib. Segala perkara yang ghaib itu pasti ada. Untuk mengetahui dan menguasainya, seseorang itu mestilah menyuci hati hingga bersinar dengan cahaya ketuhanan yang Maha Tinggi. Kesemuanya ini dapat diperoleh melalui bimbingan guru yang mursyid dan berlatih dengan tekun.

Apabila kita terbaca hasil karangan atau petikan ahli sufi, hampir semua penulisan mereka berunsur mistik. Justeru pembaca perlu melihat penulisan itu dari sudut kaca mata orang sufi. Para sufi adalah orang yang cenderung kepada kebatinan dan kerohanian. Kebanyakan istilah yang mereka guna adalah berbeza dengan pengertian penulisan biasa.

Sebagai contoh, ayat matikan diri kamu, ini bukan membawa maksud kita bunuh diri, atau menembak kepala kita sendiri. Menurut pandangan orang sufi 'matikan diri' atau 'bunuhkan diri' bermaksud mematikan atau membuang nafsu ammarah atau hawa nafsu iblis yang ada dalam diri kita. Jika tidak berbuat demikian, ia menghijab hati terhadap Ilahi.

"Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki dan disisiNya terdapat Ummul Kitab (Lauh Mahfuzh)". ( Ar-Ra'ad : 39).

Wednesday, December 2, 2009

Mantra dan Dharana




Salam hormat dan rahayu,

Mantra adalah suara-suara yang mempunyai pengaruh mistik. Pengaruh mistik begitu mendalam bagi mereka yang mengamal ilmu kebatinan dan ilmu kerohanian. Setiap pengamal kerohanian dan kebatinan, tidak kira apa jua pegangan, kepercayaan agama, dan bangsa, mempunyai ajaran mantra yang ampuh dan tersendiri.


Mantra juga diertikan sebagai melafazkan suatu kalimah berulang kali bertujuan mempengaruhi jalan ke arah keselamatan dan kebebasan bagi umum. Fungsi utama mantra ialah sebagai alat atau pemangkin untuk memperkuat konsentrasi dalam melakukan apa jua ibadah dan mempraktekkan Yoga.


Dharana, adalah untuk menguatkan konsentrasi dan mempertahankannya dari bahaya besar. Bagi umum, dharana bererti wifik atau wafa' yang menjauhkan iblis, penyakit , dan bahaya yang lain. Akan tetapi bagi ahli Yoga, dharana menjadi alat konsentrasi, baik dengan dibaca selaras dengan nafas atau dengan hanya diingat-ingat terus dalam hati selama bernafas (zikir kahfi). Dharana tidak dapat dimengerti definisinya.

Baik mantra maupun dharana, hanya diajarkan oleh guru, jadi tidak tertulis. Akan tetapi setelah diterima oleh pengikutnya, terus mempunyai kesan yang begitu besar sekali. Dalam beberapa kitab, saya bagi beberapa contoh dalam konteks mempratekkan Yoga, dikatakan bahawa kitab Lokanata dapat melebur segala dosa yang besar, dan mantra Ekajala dapat menyelamatkan orang yang membacanya, serta menjadi suci. Setiap penganut apa jua agama pasti mahu keluhuran budi, bersih jiwa, mohon keampunan dan keredhaan Tuhan.

Untuk pengetahuan pembaca, ilmu-ilmu yang tinggi dapat diperoleh dengan jalan dharana, tanpa mempelajari ilmu ghaib, namun begitu tekniknya mantra dan dharana adalah susah sekali. Pembacaan mantra harus didahului dengan persucian minda atau fikiran.

Mantra pasti mempunyai efek disebabkan adanya berulangkali sebutan dan ada prosedur amalannya, sebutan mantra bukan lagi huruf atau suara tetapi penghayatan ketuhanan. Penulisan akan datang saya akan menyentuh perkara mistik dalam konteks sufi, insyaallah.