Saturday, October 30, 2010

Apakah Sebabnya Kita Memerlukan Kebatinan?







Salam hormat dan rahayu.






Majalah Suara Kebatinan, jilid II 1961, asalnya daripada penulisan Prof. Mohammad Muhsin Jayadiguna (Harian Kedaulatan Rakyat, Jogjakarta: 7 Dis. 1960); antara penulisannya menyentuh aliran-aliran kebatinan yang dianuti oleh kebanyakan penduduk Jawa. Antara penulisannya menyentuh:

"Para pemimpin ulama kebanyakannya kurang memperhatikan tentang soal kebatinan dan tidak bersedia ke arah merumuskan prinsip-prinsip ideologinya dalam beberapa prinsip yang sederhana tetapi merupakan prinsip-prinsip asas, yang mudah dipergunakan sebagai pegangan teras bagi seseorang insan. Justeru ia harus menentukan personalitinya, penuturannya terhadap sesama manusia dan Tuhan dalam menghadapi berbagai kesulitan-kesulitan yang diketemui dalam kehidupan seharian".

Pendapat Prof. M.M. Jayadiguna berkisar pada umumnya, berkaitan pegangan dan kepercayaan seluruh penduduk di Tanah Jawa. Kebanyakan para ulama lampau dan rakyat Jawa mempelajari selok belok agama melalui pesantren-pesantren yang kebanyakannya kitab-kitab dikarang orang sejak dua atau tiga abad yang lalu. Isinya banyak yang hanya merupakan pelajaran bahasa Arab, rukun-rukun fiqih atau kepercayaan dengan method yang usang.



Dengan pengajaran atau method yang usang itu, jiwa Islam tidak dapat mereka rasakan, apatah lagi menghayatinya. Yang mereka rasakan hanya merupakan formalitas semata-mata. Banyak diantaranya merupakan ilmu ghaib, ada yang ilmu sesat, tahyul, dan terima seadanya tanpa kritis. Justeru kebanyakan mereke gunakan agama sebagai senjata untuk mendapat kedudukan atau status dalam masyarakat. Mereka tidak segan silu mempergunakan kepercayaan rakyat untuk mengukuhkan kedudukan dan memonopoli kekayaan semata-mata untuk kepentingan sendiri.


Mengenai la vie interieuri (hidup dalam keruhanian) tidak pula kebanyakan mereka utamakan. Dalam literatur Jawa, sering terdapat gambaran tentang para ulama gadungan. Antara contoh, dari kitab Wedotomo, tembang Sinom:


Garonge pada kopyahan

Saben sore lunga ngaji

Salendang sajadah anyar

Bakyake teklak teklik

ndedonga karo nangis

mrih leburing dosanipun

Yen dalu salat hajat

Tobat nasuka ranipun

analongsa nyuwun pangapuring suksma

 


bermaksud:

Garongnya memakai kopiah

tiap sore pergi ngaji

memakai selendang sajadah baru

banyaknya berbunyi teklak teklik

berdoa serta menangis

agar dosanya lebur

diwaktu malam sembahyang hajat

iaitu yang dinamakan Taubat Nasuha

merintih minta ampun daripada Tuhan.


Akan tetapi rupanya hal yang semacam atau seperkara ini bukan saja terjadi pada mereka yang memakai kopiah, malah mereka yang lain yang terdiri dari pelbagai pangkat dan gelaran, serta kebanyakan rakyat.

Friday, September 17, 2010

Usah Berjiwa Kotor.




Salam hormat dan rahayu.


Setiap individu berhak menentukan fahaman, kepercayaan, dan agama masing-masing. Apa jua agama yang dianut, seseorang itu perlu mempunyai keyakinan dan akidah yang mantap untuk capai makam jiwa yang tertinggi. Apakah seseorang itu tidak kira apa jua bangsa, kepercayaan, dan agama dapat menguasai kerohanian yang tinggi? Apakah penguasaan kerohanian ini dapat memberi impak yang positif pada diri sendiri mahupun kehidupan orang lain?


Cuba kita lihat diri dan hati masing-masing, adakah kesemuanya ini memberi manfaat yang berkesan dan berfungsi dalam kehidupan harian, apakah seseorang itu dapat menilai sejauh mana diri ini dapat menguasai diri dalam apa jua keadaan dan tabah menghadapi sebarang dugaan? Jika seseorang itu hilang sifat tabah, maka hilanglah keberanian untuk menghadapi sebarang risiko apatah lagi meneruskan perjuangan yang belum selesai.





Apa jua anutan agama, setiap agama mahukan penganutnya meningkatkan kerohanian dan membersih jiwa agar saling berbaik sangka, saling membantu, bermoral tinggi, tidak melampaui batas, dan menghormati kepercayaan dan agama orang lain. Justeru, usah prejudis dan menimbulkan konflik dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum, bangsa, dan kepercayaan agama.


memiliki rumah mewah


Manusia sanggup berbunuhan kerana motif tertentu, antaranya pemilikan harta, menguasai kedudukan atau pangkat yang tinggi (status dalam masyarakat), urusniaga yang tidak jujur, keegoan pemimpin yang bersifat diktator, dan mempunyai jiwa yang kotor. Jiwa yang kotor sanggup lakukan apa jua untuk capai matlamat tertentu walaupun mengkhianati rakan seperniagaan, menipu, seterusnya melakukan perkara yang tidak berperikemanusiaan.

Saturday, August 21, 2010

Ampuhnya Ilmu - Berfungsi?




Salam hormat dan rahayu.


Pelbagai kaedah atau cara digunakan oleh seseorang untuk memiliki kuasa ghaib dengan alasan, untuk menguasai ilmu pengasih, tidak mampan oleh sebarang senjata, ghaib dari pandangan manusia, kehendak seribu jadi, tidak dimakan usia, dan mempunyai pengaruh atau karisma dalam masyarakat.


Memiliki apa jua ilmu terutama dalam bentuk mistik perlu diyakini, diamal, dan dimanfaatkan untuk diri, keluarga, dan masyarakat. Selalunya ilmu yang sepuh dan ampuh berguna jika ia berfungsi untuk kebaikan manusia dan alam sejagat.


Dalam konteks ilmu kerohanian, dan ilmu kebatinan banyak amalan-amalan yang hilang begitu saja kerana sudah tidak dipraktikkan dan lupus ditelan oleh arus kemodenan dan kedangkalan akidah. Ilmu itu jika diyakin dan diamal pasti jadi, terpulang pada persepsi masing-masing.


Pejuang-pejuang kerohanian seperti Mat kilau, Tok Bahaman, Tok Janggut, Kiyai Salleh, Tok Kenali, dan ramai lagi berjuang menegakkan keadilan demi mempertahankan agama, maruah bangsa dan negara. Mereka sanggup mengorbankan harta benda dan nyawa asalkan hajat tercapai.





Kebanyakan mereka mempunyai amalan agama, kerohanian dan ketuhanan yang sangat ampuh dalam memperjuangkan dan menegak keadilan manusia sejagat. Wali 7 dan Wali 9 begitu gigih dan berjaya menegakkan ajaran Islam di kepulauan Indonesia.



Ramai dalam kalangan rakyat di negara ini mahupun di kepulauan Indonesia mengamal amalan-amalan yang berkaitan dengan kerohanian dan kebatinan Islam yang kesahihannya masih dipertikaikan oleh ulama-ulama Islam yang muktabar.

Monday, July 26, 2010

Ratib Ghaib 2 - penjelasan.





Salam hormat dan rahayu.




Mempraktek amalan 'ratib ghaib' memerlukan disiplin dan daya mantra serta dharana yang tinggi, ini membolehkan pengamalnya benar-benar ampuh dan sepuh bagi setiap wiridnya. Penulisan lalu, saya telah menjelaskan secara terperinci mengenai mantra dan dharana. Mantra itu sendiri membawa maksud menyebut sesuatu perkataan mistik secara berulang-ulang, manakala dharana adalah sesuatu tindakan atau sebagai kaedah yang menguatkan konsentrasi.Setiap kata mantra yang di sebut berulang kali, mempunyai efek atau impak yang tinggi kepada pengamalnya. Apabila sesuatu mantra sudah menjadi objektif, iaitu bukan lagi huruf atau suara pasti ianya terhasil atau terbentuknya kuasa gaib.



abstrak



Amalan mantra ratib ghaib mudah terhasil jika ianya diamal mengikut prosedur dharana. Kekuatan konsentrasi (melalui prosedur dharana) boleh diperoleh melalui pelbagai kaedah, antaranya 'Maithuna' iaitu kaedah mengatur nafas dengan cara yang betul (pranayana). Kaedah seperti ini juga terdapat dalam kaedah konsentrasi cara barat, iaitu melalui hipnotism atau "self hypnosis".




Kaedah "Self Hypnosis" ini, insyaAllah akan saya perjelaskan pada penulisan akan datang. Pada penulisan akan datang juga, insayaAllah, saya cuba menghuraikan beberapa kaedah menjalani mantra ratib ghaib, sama ada melalui Panekung, mahupun tarekat-tarekat sufiah yang terdapat dalam Kitab Centini.

Friday, July 2, 2010

Hati terdorong menuju ketuhanan.




Salam hormat dan rahayu.



Objek dihangus api tidaklah sehebat jiwa dimusnah api kemarahan. Jiwa akan hancur, hati akan mati sekiranya seseorang itu menghambakan diri kepada raja iblis dan syaitan. Api syaitan akan bergembira dan bermaharajalela melihat insan sesat dijalanan ketuhanan.


Nafsu syaitan usah diikut, jika diikut pasti hidup ini menjadi lintang pukang, jauhi dan perlu musnahkan nafsu ammarah, lawwammah, dan muhalmah. Dorongkan diri ke laluan ketuhanan, kita mesti capai ke tahap mutmainnah hingga ke tahap insan kamil.



Hidup dewasa ini penuh dengan kekalutan akidah, ramai yang berjiwa materialistik, tidak ketinggalan juga berfahaman atheist, "Free Thinker", malah mencabar kewujudan Ilahi. Apa pun carilah laluan yang diredhaiNya, insyaAllah dirahmatiNya, Tuhan Pencipta Alam.



Mana mungkin alam berdiri sendiri, setiap benda yang baharu tidak tercipta tersendiri, semuanya ini ada pencipta iaitu Maha Pencipta yang bersalahan dengan benda yang baharu. Ujudnya Tuhan ini adalah awal yang tiada permulaan, akhir yang tiada kesudahan, malah hampirNya kepada kita tiada bersentuhan dan jauhnya Dia tiada perantaraan.

Tuesday, June 8, 2010

Ratib Ghaib.




Salam hormat dan rahayu.


Zikir itu ratib, ratib itu sebut, menyebut kata-kata pujian kepada Tuhan berulangkali, ada zikir yang sebutannya ditentukan jumlah ulangannya, selalunya kata-kata ulangan itu berfokus, memuji dan berunsurkan ketuhanan. Bagi mereka yang mahukan tahap ketenangan jiwa yang mantap tidak mengira bangsa dan agama, mereka mencari jalan untuk mendapatkannya, antaranya berzikir, beryoga atau bermeditasi, dan tapa brata.



Setiap ajaran agama mahukan penganutnya melakukan kebaikan, setiap penganut tidak kira apa jua bangsa dan kaum perlu melakukan ibadah dengan memperbanyakkan berzikir atau ratib agar dapat hampir dan bersatu dengan Tuhan. Sudah tentu ada kaedah atau prosedur untuk berzikir atau ratib, terutama mengamal ratib ghaib. Setiap pengamal perlu ada tunjuk ajar daripada guru yang mursyid dan arif.


Sebelum mengamal ratib atau zikir tertentu, seseorang itu perlu suci diri, ikhlas dalam sebarang perbuatan, mendapat restu dan ijazah daripada guru yang mursyid, dan patuh dengan ajaran guru. Apakah seseorang itu memerlukan tumpuan diri atau konsentrasi semasa mengamal ratib ghaib?



Adakah tumpuan diri itu ada persamaan dengan kaedah hipnosis kendiri semasa menjalani ratib? pada penulisan akan datang saya akan cuba memberi penjelasan mengenai perkara ini, insyaAllah.

Friday, June 4, 2010

Perlukah Pisau?




Salam hormat dan rahayu.



Parang, keris, pedang, kayu, dan pisau adalah salah satu daripada senjata yang digunakan dalam mempelajari seni beladiri. Seni silat juga adalah salah satu antara seni beladiri yang mengajar kemahiran menggunakan senjata.


Pisau yang berfungsi antaranya memotong, menghiris, dan menikam diguna pakai dalam mempelajari ilmu mempertahankan diri. Untuk menguasai permainan senjata seperti pisau ini, seseorang itu memerlukan tunjuk ajar daripada guru yang pakar dan arif dalam bidang tersebut.






Pisau boleh didapati dimana-mana dan senang memperolehnya, orang yang bijaksana akan memilih pisau yang sesuai dengan dirinya. Perlu kaji jenis besi dan kesempurnaan pisau tersebut, begitu juga dalam memilih keris, pedang, dan runcing aceh.

Wednesday, June 2, 2010

Seni Silat dan Keunikannya.




Salam hormat dan rahayu.


Seni mempertahankan diri terutama seni silat dipertandingkan bukan saja di peringkat sekolah, daerah, negeri, dan kebangsaan, malah juga di arena antarabangsa. Seni mempertahankan diri ini dipertandingkan kepada dua kategori iaitu silat olahraga, dan silat seni. Setiap seni bela diri yang dipertandingkan itu ada keunikannya tersendiri.



Perasmian Kejohanan Silat Seni Peringkat ASEAN

Ada beratus jenis silat seni yang boleh dipelajari oleh semua peringkat di negara ini. Aku ingin fokuskan kepada keindahan dan kehebatan silat seni. Setiap seni ada keindahannya atau dengan kata lain ada nilai-nilai estetik, antaranya rahsia pergerakan setiap langkah atau jurus, rahsia detik, saat dan ketika, sewaktu mematikan langkah, dan gerak hati kebatinan dalam diri seseorang itu.


Kejohanan Silat Olahraga.

Apakah dalam setiap gerak ada maksudnya tertentu? jika tersalah langkah sudah pasti silaplah gerak alunannya, memang benar, gerak zahir dan batin perlu ada keselarasannya, kerana satu itu kepada yang banyak, dan yang banyak itu kepada satu. Apa bezanya seni silat dan pencak silat, apakah pula yang dimaksudkan langkah bersilat dan berpencak, adakah ia ada persamaan, atau berkemungkinan mempunyai pati rahasianya masing-masing?


Pernah aku menyaksikan beberapa persembahan seni silat dan seni silat kebatinan, persembahan kumpulan tersebut sangat menarik dan terlalu unik, kata orang lama, seni itu abstrak, terlalu subjektif dan kemuncaknya ada nilai-nilai keindahan yang tinggi dan menuju kepada ketuhanan jua.

Pentingnya Pengisian Kerohanian






Salam hormat dan rahayu.



Menentang kebatilan dalam bentuk apa jua pun, seseorang itu perlu mempunyai semangat dan ilmu kerohanian dan kebatinan yang tinggi serta mantap dalam menguasai dirinya. Menguasai diri di sini bermaksud seseorang itu dapat mengawal emosi, memanfaatkan ilmu yang dipelajari ke jalan yang benar, sentiasa berjiwa besar tetapi merendahkan diri, tidak gah dan tidak sombong serta berdisiplin.






Berjuang terus berjuang terutama menegakkan agama, maruah diri dan bangsa, serta sanggup mempertahankan negara dari dijajah oleh orang lain walaupun nyawa menjadi pertaruhannya. Sekiranya tidak berani menanggung risiko, usahlah mendabik dada sebagai pejuang agama dan bangsa. Ketika zaman British memerintah Tanah Melayu, ramai pejuang dan pemimpin berjuang menentang untuk mendapatkan kebebasan rakyat dan mahukan kemerdekaan walaupun risikonya begitu tinggi.







Sebagai contoh zaman kepahlawan Mat Kilau, Tok Gajah, Mat Lela, Tok Bahaman berjuang berhabis-habisan menentang penjajah kerana menindas rakyat, mengaut keuntungan sumber bumi watan. Ramai orang penting British tunggang langgang, ada yang dibunuh, ada yang balik ke negeri asal kerena hebatnya pejuang rakyat bertindak ke atas mereka.




Dewasa ini di kebanyakan tempat diserata dunia, rakyat setempat telah celik akal dan berani memperjuangkan yang hak demi keutuhan kedaulatan negara masing-masing. Bagaimana ini boleh berlaku? sudah tentu banyak faktor, antaranya melalui pendidikan, pergolakan politik, dan pergerakan iklim ekonomi serta iklim sosio-budaya.







Pengaruh konflik sesama pemimpin diluar atau di negara jiran juga sedikit banyak mempengaruhi pemikiran rakyat. Apa yang penting disini, setiap tindakan perlulah diperhalusi terlebih dahulu supaya tidak tersasar yang boleh mengakibatkan kehancuran keharmonian rakyat. Pengisian rohani pada setiap jiwa amatlah perlu diutamakan untuk menangkis apa jua sebarang fahaman yang negatif yang boleh mendatangkan mudarat pada diri dan negara.

Saturday, April 17, 2010

Futuhul Ghaib - 10 sifat ahli kerohanian. (5)





Salam hormat dan rahayu,


Penulisan lalu saya telah menjelaskan sembilan sifat yang perlu ada bagi setiap ahli kerohanian, sifat yang kesepuluh pula ialah merendahkan diri iaitu tidak berbangga-bangga dan tidak pula membesarkan diri. Dengan sifat ini seseorang itu akan dipermuliakan oleh Allah. Justeru ia disempurnakan kedudukan disisiNya dan juga pada pandangan manusia. Ahli kerohanian yang menguasai sifat kesepuluh ini dianugerah kuasa memperoleh apa saja di dunia dan di akhirat. Sifat ini merupakan akar dan ranting bagi pokok kesempurnaan taat dan patuh kepada Allah.







Dalam keadaan bersifat merendahkan diri itu, seseorang itu (hamba Allah) hanya nampak kelebihan orang lain lalu berkata pada dirinya " barangkali orang itu lebih baik daripada aku pada pandangan Allah dan lebih tinggi kedudukannya". Sekiranya orang itu orang kecil, hamba Allah akan berkata "orang ini tidak bersalah kepada Allah tetapi aku yang bersalah, oleh itu sudah tentu dia lebih baik daripada aku". Jika orang itu orang besar, hamba Allah itu terus berkata "orang itu telah menghambakan dirinya kepada Allah sebelum aku berbuat demikian".







Sekiranya hamba Allah itu melihat seseorang yang alim, lalu ia berkata pada dirinya "orang itu telah diberi apa yang yang tidak sampai padaku dan ia telah mendapat apa yang aku tidak dapat, dan ia tahu apa yang aku tidak tahu, dan dia bertindak menurut pengetahuan. Jika orang itu orang jahil, maka hamba Allah itu akan berkata " orang ini engkar kepada Allah dalam jahilnya, tetapi aku engkar pada hal aku berilmu, aku tidak tahu apakah akhirnya aku dan apa pula akhirnya dia".






Jika dilihatnya orang yang kafir pula, lalu ia (hamba Allah) berkata "aku tidak tahu, mungkin dia menjadi seorang muslim dan akhir hayatnya penuh dalam kebaikan, tetapi mungkin aku menjadi kafir dan berakhir dalam kejahatan". Justeru jika seseorang berfikiran demikian dan bersifat seperti ini, akan terserlah pintu hati dengan penuh kasih sayang dan takut kepada Allah.







Apabila seseorang ahli kerohanian ini mencapai ke tahap ini, lidahnya akan berhenti dari memperkatakan hal-hal dunia dan apa-apa saja yang sia-sia. Sifat sombong, dengki dan melampau batas akan hilang dari hatinya dalam semua keadaan. Cakapnya serupa dengan apa dalam hatinya, dan tujuannya serupa dengan apa yang ada dalam hatinya, pendek kata, zahir dan batinnya serupa juga. Pelihara dan kekallah peringkat ini supaya terjamin sifat zuhud dalam diri kita.

Wednesday, April 7, 2010

Futuhul Ghaib - 10 Sifat Ahli Kerohanian (4)




Salam hormat dan rahayu,





Saya cuba meneruskan penulisan ini dengan menyentuh perkara ke tujuh, sifat yang perlu ada pada seseorang yang bergelar ahli kerohanian. Setiap ahli kerohanian mesti iaitu tidak boleh tidak menghindarkan dirinya dari perkara yang berdosa, zahir dan batin, dan jauhkan anggotanya membuat perkara yang berdosa. Justeru Allah akan memelihara hati seseorang itu dan dapat membuang segala hawa nafsu keduniaan semata-mata.


Perkara delapan pula, setiap ahli kerohanian hendaklah jangan membebani seseorang sama ada berat atau ringan, sebaliknya membantu dan membuang beban orang tersebut sama ada ia memohon atau tidak. Jika bersifat dan bertindak sedemikian, ahli kerohanian itu dimuliakan oleh Allah dan memperoleh kekuatan untuk menasihati orang lain pula supaya berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan,


Dalam peringkat ini, ahli kerohanian itu dijadikan oleh Allah hatinya tidak memerlukan apa-apa dan ia berpegang teguh dan bertawakal kepadaNya sahaja. Allah tidak akan menaikkan taraf atau pangkat kerohanian seseorang itu disisiNya jika ia masih terikat erat kepada kehendak hawa nafsu keduniaan semata-mata.


Pada ahli kerohanian yang telah mencapai ke tahap ini, semua makhluk adalah sama dan mempunyai hak yang sama. Menuju ke jalan keikhlasan. Pada peringkat ke sembilan pula, setiap ahli kerohanian itu tidak berharap-harap kepada manusia dan tidak juga terasa dalam hatinya mahu memilik apa saja yang ada pada mereka. Justeru mereka berkeyakinan tinggi dan bertawakal sepenuh hati kepada Ilahi.

Monday, March 8, 2010

Futuhul Ghaib - 10 Sifat Ahli Kerohanian (3)






Salam hormat dan rahayu






Saya teruskan huraian berkaitan sepuluh sifat yang perlu ada pada setiap ahli kerohanian. Empat sifat telahpun diterangkan pada penulisan lalu. Kini kita pergi pula ke sifat kelima dan keenam.





Sifat kelima yang perlu ada bagi ahli kerohanian ialah jangan berdoa kepada Ilahi supaya orang lain mendapat bahaya, walaupun ia (ahli kerohanian) dilayan dengan cara yang tidak baik. Usahlah memberi respon atau tuntutan terhadap layanan yang tidak baik dengan lisan atau perbuatan, pasrahlah kepada Allah. Sekirannya seseorang ahli kerohanian itu dapat berbuat demikian, nescaya ia akan diberi pangkat kerohanian yang tinggi disisi Allah.





Ahli kerohanian yang terlatih dengan cara ini dan tetap dalam sifat ini akan mendapat kemuliaan dalam dunia dan di akhirat kelak serta akan dicintai oleh orang yang bersifat benar, sama ada yang dekat mahupun yang jauh. Permohonannya pula akan diterima dan ia mendapat kemuliaan dihati mereka yang beriman.





Sifat yang keenam, seseorang itu tidak boleh menghukumkan orang lain (yang beragama Islam) musyrik, munafik atau kafir. Jika kamu tidak mengkafirkan, memunafikkan atau memusyrikan seseorang itu, maka ini menunjukkan kamu menurut sunnah nabi besar Muhammad s.a.w. dan menjauhkan diri kamu dari membuat kacau dalam perkara yang Allah sahaja mengetahui, dan menjauhkan dari seksaannya.





Seterusnya, situasi ini menghampirkan kamu kepada rahmat dan keredhaanNya. Justeru ini merupakan pintu yang mulia menuju ke arah Ilahi Yang Maha Bijaksana dan Pemberi Rahmat.

Friday, February 26, 2010

Futuhul Ghaib - 10 Sifat Ahli Kerohanian (2)








Salam hormat dan rahayu,


Penulisan lalu, saya jelaskan sifat pertama yang perlu ada pada seseorang ahli kerohanian, kali ini dijelaskan pula sifat kedua dan ketiga untuk renungan pembaca blog ini. Sifat kedua bagi seseorang ahli kerohanian ialah jangan berbohong sama ada benar-benar, berjenaka atau berseloroh sahaja.







Apabila seseorang itu telah dapat membuang tabiat berbohong yang tidak diingini itu dan telah menjadi sebati dengan dirinya, maka Allah akan membuka hatinya dan membersihkan ilmunya sehingga seolah-olah ia tidak tahu bohong, dan apabila didengarnya orang lain berbohong, maka ia berasa benci dan malu dalam hatinya. Jika ia berdoa kepada Allah untuk membuang kelakuan berbohong itu, maka Allah akan memperkenannya.







Sifat ketiga pula, seseorang ahli kerohanian jangan mungkir janji apabila ia telah berjanji atau jangan berjanji langsung. Dengan tidak mungkir janji atau tidak langsung berjanji itu, ia akan dapat sumber kekuatan dalam dirinya. Mungkir janji adalah termasuk dalam golongan sifat berbohong. Jika ini dapat dihindari, seseorang ahli kerohanian memperoleh kemuliaan dan akhlak darjat yang tinggi daripada Allah.







Sifat keempat, setiap ahli kerohanian itu jangan sesekali menyumpah atau melaknat makhluk apatah lagi menyakiti mereka, walaupun sedikit. Sifat ini adalah di antara sifat-sifat yang baik dan jika diamal secara berterusan seseorang itu akan berakhir dengan hidup yang baik dibawah lindungan Ilahi dan Allah akan menyediakan pangkat kerohanian yang tinggi dan ia akan dipelihara dari jatuh ke lembah kebinasaan serta dipelihara dari perbuatan kejahatan manusia.

Wednesday, February 24, 2010

Futuhul Ghaib - 10 Sifat Ahli Kerohanian (1).








Salam hormat dan rahayu,




Saya ingin berkongsi maklumat dengan pembaca blog ini mengenai Kitab Fatuhul Ghaib. Ada lapan puluh tiga syarahan Sheikh Abdul Qadir Jailani (Wali Allah) yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan harian kita. Antara syarahan yang akan saya tulis ini ialah syarahan Sheikh Abdul Qadir Jailani yang ketujuh puluh lapan, yang amat berguna untuk renungan kita semua.




Hendaklah ada sepuluh sifat bagi sesiapa saja yang berada dalam perjuangan kerohanian dan dalam meniliti diri sendiri untuk mencapai matlamat kerohanian yang tinggi dan kekal. Sifat pertama ialah seseorang ahli kerohanian hendaklah jangan bersumpah dengan nama Allah, sama ada dalam perkara benar atau yang salah, dengan sengaja atau tersilap.




Apabila ia telah biasa dengan perkara demikian, tidaklah lagi ia bersumpah dengan nama Allah secara sengaja atau sebaliknya. Maka Allah akan membuka pintu nur (cahaya) untuknya. Justeru ini akan bermakna kepada seseorang ahli kerohanian, pangkatnya disisi Allah akan ditingkatkan, kekuatan dan kesabarannya akan bertambah, saudara maranya akan memujinya, dan jirannya akan memuliakannya. Barangsiapa yang kenal kepadanya akan menghormatinya, sesiapa yang melihatnya pasti akan gentar memandangnya. Penulisan akan datang, saya akan teruskan kepada penjelasan sifat kedua yang perlu ada bagi setiap ahli kerohanian.

Saturday, February 6, 2010

Lagi Seni Bela Diri.




Salam hormat dan rahayu.


Di Japan, banyak terdapat seni mempertahankan diri yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa, antaranya Judo, Karate, Aikodo, Sumo, dan Jujutsu. Seni bela diri terutama Judo, Karate, Aikido, Ninjutsu, dan Jujutsu dipelajari oleh rakyatnya disemua peringkat termasuk murid sekolah.



Seni mempertahankan diri dari Japan ini bukan saja dipelajari oleh penduduk tempatan, malah dipelajari dan diperluaskan ilmu itu ke seluruh negara di dunia ini. Karate, Judo, dan Aikido sudah tersebar luas dan dipelajari bukan saja oleh murid sekolah malah turut juga dipelajari oleh pelajar universiti, tentera, polis, dan penjawat awam.




Di India pula terkenal dengan seni Kalari Payat, manakala Korea terkenal dengan Tae Kwan Do, Muang Thai di Thailand, Seni Silat di Malaysia dan Indonesia, seterusnya pula Capoeira adalah seni mempertahankan diri yang berasal dari Brazil. Nama -nama seni mempertahankan diri yang tersebut ini adalah antara seni bela diri yang tersohor.

Tuesday, February 2, 2010

seni bela diri






Salam Hormat dan rahayu,


Seni mempertahankan diri, ataupun seni beladiri dapat dipelajari diserata tempat. Ramai peminat mempelajari ilmu bela diri ini bertujuan untuk meningkatkan kesihatan dan menjaga maruah diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Apa pun jua jenis seni mempertahankan diri, jika dipelajari, ia dapat mendisiplinkan pelajarnya ke tahap yang lebih serius, apatah lagi jika ada kedapatan pelajar yang menguasainya sehingga ke peringkat menguasai lmu kebatinan.




Beberapa pertubuhan seni pertahankan diri, seperti karate, tae kwan do, Judo, Silat, muang thai, aikido, kung fu, tai chi dan kalari payat dikenal pasti mempunyai pengikut yang besar, malah dipertanding di peringkat antarabangsa. Masing-masing mempunyai keistimewaannya tersendiri.






memecah genting, guna tenaga dalam


Selalunya pelajar atau murid bagi mana-mana seni bela diri yang dapat menguasai ilmu tersebut ke peringkat yang lebih tinggi, mereka diberi atau disalur dengan ilmu kebatinan yang ampuh sebagai pengiktirafan daripada gurunya. Untuk menguasai ilmu tersebut, hanya murid yang layak saja yang boleh mempelajarinya dengan tekun dan patuh pada setiap ajaran guru. Apa itu kebatinan? saya telah pun jelaskan perkara tersebut dalam penulisan saya yang lalu (bertarikh : 09/08/09, 16/08/09, dan 17/08/09).

Sunday, January 31, 2010

Usah Berkonflik.





Salam hormat dan rahayu




Setiap manusia jika keselamatannya diancam pasti akan bertindak tegas menentang habis-habisan terhadap musuh untuk mengekalkan keamanan diri, keluarga, dan keharmonian negara. Setiap individu perlu mempunyai jati diri, bersemangat patriotk, dan ada pegangan kerohanian yang kukuh demi mempertahankan negara daripada ancaman musuh.




Negara akan kucar-kacir lalu lebur sekiranya semua rakyat termasuk pemimpin tidak bersatu teguh dalam membangun dan mempertahankan negara. Rakyat yang berbilang kaum dan terdiri dari pelbagai anutan agama, jika tidak saling bantu membantu, dan saling menghormati, dalam hidup bermasyarakat, maka dalam kalangan mereka akan saling berkonflik dan perpaduan yang sedia ada akan mulai pudar.






Setiap agama mengajar penganutnya membuat kebaikan dan saling membantu terhadap sesama manusia dan menghargai perpaduan. Konflik agama dalam kalangan rakyat amat besar risikonya, lihat apa yang telah terjadi di beberapa kawasan seperti di Ambon, Indonesia, Selatan Thai, Filipina, dan India - Pakistan, ramai yang terbunuh, keamanan tidak lagi utuh, prasangka dalam kalangan rakyat semakin menular, dan ekonomi semakin terjejas.




Penuhilah dada dan hati dengan keimanan, dan kerohanian yang tinggi supaya hidup ini sentiasa bermakna dan berfungsi dalam masyarakat yang penuh pancaroba. Kawal dan urus emosi, dan hapus nafsu amarah yang boleh membawa mudarat kepada orang lain.

Sunday, January 24, 2010

Kalimah Perjuangan.




ANAK PERLU DIDIDIK SEJAK KECIL LAGI.


Apa jua perjuangan yang baik, apatah lagi mempertahankan kalimah syahadat, perlu dipupuk dihati sanubari anak sejak ianya kecil lagi. Anak harapan bangsa, anak pewaris zuriat yang akan mencorak warna kehidupan masa depan dunia ini. Anak juga merupakan madu dan racun untuk keharmonian sesebuah keluarga. Tidak ada satu pun keluarga yang mahu abaikan kebajikan anaknya.

Anak perlu diberi pendidikan yang sewajarnya, selain didikan duniawi, didikan rohani amat perlu sekali diberi kepada mereka untuk membina keluhuran budi dan hidup berdisiplin. Anak yang tidak berpendidikan dan terbiar, lambat laun akan lenyaplah kegemilangan bangsanya. Kalau nak dilentur buluh, hendaklah dimulai dari rebungnya, kalau nak dididik dan mendisiplinkan anak hendaklah dimulai sejak ianya masih dalam dukungan ibu bapanya.

Justeru bila lahirnya anak sama ada lelaki atau perempuan, bagi keluarga yang beragama Islam, pasti ketua keluarga akan mengazan atau qamat di kuping anak tersebut, anak itu telah diberi kalimah tauhid, dan nilai-nilai kerohanian serta perjuangan menuju kejayaan. Saya cuba kaitkan apa yang diiktirafkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai hak kanak-kanak.

Konvensyen Mengenai Hak kanak-Kanak, telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 20 November 1989, mengiktirafkan bahawa kanak-kanak, untuk perkembangan yang sepenuhnya dan berharmoni bagi personalitinya, patut membesar dalam persekitaran kekeluargaan, dalam suasana bahagia, kasih sayang dan persefahaman.

Tuesday, January 19, 2010

Yoga Patanjali (3)



amalan meditasi/yoga klasik



Salam hormat dan rahayu,

Dalam penulisan yang lalu saya ada menyentuh mengenai lapan syarat yang perlu dilalui oleh seseorang untuk menguasai ilmu Yoga [Yoga Patanjali (2) : Nov. 21, 2009], kini saya cuba menjelaskan perjalanan hidup sebagai ahli Yoga.

Secara ringkas : Yoga sebagaimana yang dihuraikan oleh Patanjali, adalah bertujuan melepaskan diri dari kondisi kemanusiaan, dan memperoleh kebebasan mutlak. Bagaimana caranya untuk memperoleh kesemuanya itu, antara kaedah ialah melalui teknik yang kompleks merangkumi psikologi dan kekuatan minda.

Kaedah tersebut dapat dinamakan sebagai anti profane atau anti humane, bermaksud : melakukan hal-hal sebaliknya apa yang dilakukan oleh manusia biasa. Manusia biasa hidup dalam masyarakat, mendirikan institusi keluarga. Yoga mewajibkan hidup tersendiri, tidak ada hubungan dengan wanita. Orang biasa bergerak, ahli Yoga berdiam. Orang biasa bernafas, ahli Yoga pula mengatur nafas dan mempersedikit sedapat mungkin.


menyatukan fikiran


Fikiran orang biasa memberi reaksi kepada berbagai dan pelbagai hal diluar dirinya. Yoga berfokus pada satu hal sahaja. Seorang ahli Yoga mengasingkan diri dari hidup material, dan hal-hal yang boleh mengganggu, mengurang dan menghilngkan tumpuan  fokus pemikirannya. 

Setiap pengamal Yoga sentiasa berusaha mempersatukan fungsi-fungsi hidup yang terpenting iaitu susun atur bernafas dan kesedaran minda.

Wednesday, January 13, 2010

Tuhan yang Maha Esa.




Salam hormat dan rahayu,

Setiap penganut agama Islam bertuhankan Allah yang Maha Esa. Yang Esa itu sungguh satu, iaitu benar-benar hanya satu, tidak dua, tidak tiga. Allah tidak beranak, tidak pula diperanakkan, segala sesuatu bermohon hanya padaNya, dan tidak dapat dibandingkan dengan apa jua pun.





Sesungguhnya sebelum ada apa-apa, awung uwung (keadaan kosong) ini, hanya Allah yang ada. Tuhan menciptakan cahaya nur ru'yah, lalu menjadi unsur-unsur, segera mengurai menjadi tanah, api, angin (udara), dan air. Tuhan tiada arah, ertinya tanpa tempat. Jauh tiada terhingga (tiada perantaraan), dekat tiada bersentuhan, adanya Dia, lantaran Dzatnya sendiri.



kraton Solo


Justeru Maha Suci Allah itu adalah Dzat mutlak, yang kadim, azali abadi bersemayam dalam nukat ghaib, ibarat huruf Alif bersifat wajib al- wujud. Istilah wajib al-wujud dalam ilmu kalam, bererti ada dari DzatNya sendiri, tanpa sebab dari luar, adanya adalah wajib, mustahil Dia tidak ada, malah tidak dapat diserupa dengan apapun.

Sunday, January 10, 2010

Al Fatihah untuk Gus Dur.



Salam hormat dan rahayu,
Al Fatihah, semoga Allah mencucuri rahmat untuk Bapak Gus Dur (Abdurrahman Wahid).

Daripada Allah kamu hadir, dan kepada Allah jua kamu dikembalikan. Setiap yang bernafas akan melalui kematian. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Nama disini, dimaksudkan kebaikan yang dibuat semasa hidup di dunia.

Allahyarham Gus Dur wafat setelah membuat jasa kepada rakyat Indonesia khususnya, dan beliau digelar sebagai Bapa Pluralisme Indonesia. Anak kelahiran Denanyar, Jombang, Jawa Timur adalah mantan pemimpin Nahdlatul Ulama Indonesia (1984 -1999). Beliau dikebumikan di Pondok Pesantren Tebu Ireng, Jombang, Jawa Timur.


Penyokong Gus Dur sedang berdoa kepada Ilahi.

Pak Gus Dur merupakan Tokoh Pemikiran Islam Moden, telah menyatukan masyarakat majmuk daripada pelbagai etnik, daerah, dan agama. Banyak teladan telah dibuat oleh Pak Gus Dur mengenai Islam sebagai sumber perdamaian dan toleransi, di Indonesia, mahupun di peringkat antarabangsa.




Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah berpendapat bahawa Pak Gus Dur merupakan seorang patriotik, nasionalis yang berjuang untuk Indonesia dan kesucian agama Islam.

"Allah menetapkan roh atas perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya diantara hamba-hambaNya". (Al Mu'min : 15).

Saturday, January 9, 2010

An-Nahl : 125


gereja dibakar


Salam hormat dan rahayu,

Apa jua tindakan tanpa fikir, apatah lagi dikuasai nafsu, sudah tentu suasana menjadi musnah, tunggang langgang dan lebur. Setiap agama dan apa jua kepercayaan mahukan penganutnya berbuat kebaikan dan saling hormat menghormati supaya hidup ini penuh dengan keharmonian.

Tindakan melulu dan terburu-buru ke atas apa jua yang boleh membawa kerosakan harta benda dan keamanan masyarakat membolehkan keadaan yang stabil akan menjadi haru biru, manusia saling prejudis, dan berkonflik sepanjang masa. Konflik dalam kalangan agama adalah konflik yang perlu dielakkan sama sekali kerana risikonya amat besar.


bila pergolakan berlaku ......

Pertumpahan darah akan berlaku, negara akan mengalami kemusnahan, emosi kalangan rakyat tidak dapat dikawal, dan akan saling berdendam yang tiada kesudahan. Justeru urus emosi, kawal nafsu, usah bertindak membabi buta kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut nafsu lesu, dan yang sebaik-baiknya ikut iman, pasti aman. Kawallah emosi dan nafsu dalam diri kamu agar tidak bertindak melampaui batas kemanusiaan dan keagamaan.

Nafsu ertinya angkara, pada dasarnya ia adalah tenaga dalam batin yang mendorong manusia untuk mengejar dan mendapat sesuatu sama ada kesenangan duniawi atau kemenangan ukhrawi dengan melalui berbagai dan pelbagai peringkat. Nafsu yang perlu diurus dan diberi perhatian oleh umum ialah nafsu ammarah.

Nafsu ammarah, ertinya garang, memiliki watak angkara murka, antaranya iri hati, pemarah, pemberang, dan ianya bersumber di hempedu, ibarat hati bersinar merah. Jika nafsu ammarah tidak dapat dikawal, pasti berlaku perkara yang buruk dan musnah.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik". ( surah An-Nahl : 125).