Friday, January 1, 2010

Fana' dan Baqa'kah Aku?


SELAMAT TAHUN BARU 2010

Salam hormat dan rahayu

Penulisan lalu, telah saya sentuh secara asas berkaitan dengan istilah zuhud. Dalam dunia tasawuf, banyak sekali istilah sufi diguna pakai untuk menjelas dan menerangkan apa jua isu yang berkaitan dengan pengetahuan dan perjalanan ilmu tasawuf, antaranya fana', sirr, qalb, zauq, musyahadah, dan tajalli. Saya cuba hurai secara ringkas mengenai fahaman fana' dan baqa' untuk pengetahuan pembaca blog ini.

Fana' didefinisikan sebagai hancur. Menurut kacamata dunia tasawuf, fana' diertikan sebagai hancurnya sifat-sifat tercela. Justeru insan yang fana' adalah insan yang telah hancur sifat-sifat ketercelaannya. Ia telah memiliki sifat-sifat Allah dan mempunyai akhlak Allah, seperti hadis nabi:


"Milikilah sifat-sifat Allah dan berakhlaklah dengan akhlak Allah". Istilah fana' selalunya berganding dengan sifat baqa'. Baqa' secara harfiah bererti kekal. Kekal dalam ungkapan dunia tasawuf ialah kekalnya sifat-sifat terpuji pada diri seseorang setelah lenyapnya sifat-sifat tercela. Oleh itu, fana' dan baqa' bagaikan irama dan lagu, tidak boleh diasingkan.


Seseorang sufi yang telah sampai ke tahap fana' dan baqa' , jiwanya telah bersih sehingga memungkinkan dia "melihat" Allah, dekat denganNya, mendapat anugerah mukasyafah dan musyahadah. Timbulnya fana' dan baqa' pada seseorang itu adalah adanya kesedaran bahawa setiap manusia akan hancur dan yang kekal hanyalah Allah.


"Semua orang yang di bumi akan musnah. Dan zat Tuhanmu yang Besar lagi Mulia akan tetap tinggal kekal." (Al-Rahman : ayat 26 - 27).

No comments:

Post a Comment