Friday, September 16, 2011

Sia-Siakah Perjuanganku?



 Salam Hormat dan rahayu
  

Aki Mat Kilau



Apakah aku berjuang untuk agama, bangsa, dan negaraku?


Setiap detik   pergolakan dan  perjuangan memerlukan pengorbanan. Setiap perjuangan pasti berani tanggung risiko. Apakah pejuang terdahulu untuk mengekalkan kedaulatan agama, bangsa, dan negara dikenang oleh rakyat dan para pemimpin negara. Kriteria yang bagaimanakah pejuang tersebut boleh digelar pahlawan atau wira negara. Mereka perlu berjuang berhabis-habisan untuk mempertahankan negara walaupun nyawa tergadai.  Yang penting anak bangsa akan hidup makmur dan tidak dalam ketakutan pada masa mendatang. 


Ada segelintir pejuang negara berkorban apa saja untuk mengekalkan kedaulatan negara. Mereka berjuang ke titisan darah yang terakhir tanpa memikirkan kemegahan. Malah pejuang Islam, dan setiap pejuang bangsa mempunyai keyakinan dan prinsipnya tersendiri. Jiwa akan terus bergolak pabila negara senantiasa dijajah. Kebebasan rakyat untuk hidup harmoni, dan penuh saling kasih sayang akan tetap terjejas. Dewasa ini jika tidak bersatu fikiran dan tidak saling bekerjasama dalam mengekalkan kedaulatan negara pasti negara akan hancur dijajah oleh musuh sama ada dalam bentuk politik, ekonomi, pendidikan, sosio budaya dan pentadbiran.



kiyai Hj Salleh
    





Pahlawan Mat Kilau, To' Bahaman, Tok Janggut, Kiyai Salleh, dan ramai lagi sanggup menggadai nyawa demi menghapus penjajah dan mengembalikan kedaulatan negeri sebagai negeri yang merdeka. Ketika itu negeri dijajah oleh British, hasil bumi dirampas begitu saja. Raja atau Sultan akur dengan pemerintahan British, malah melabel pahlawan terbilang tersebut sebagai penderhaka. Angkara siapa ini? cari jawapannya dalam fakta sejarah yang adakalanya mengelirukan.


Rakyat akhirnya akan dapat menilai yang mana baik dan sebaliknya. Usah cerita perihal pembela nasib rakyat semasa sebelum merdeka maupun waktu kini, kerana sesuatu itu dalam pengetahuan yang Maha Kuasa. Ada pepatah mengatakan "silurus makanan sibenggkok, yang bodoh makanan sicerdik, dan yang lemah makanan sigagah" apakah benar? tepuk dada tanya akal sendiri.


"Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar." (Al-Hujarat : 15).

Tuesday, September 13, 2011

Mencari Perjuangan Hidup.



Salam Hormat dan rahayu





Ke arah mana perjuanganku?

Hidup ini perlu ada matlamat dan objektifnya tertentu, setiap insan, apa jua bangsa dan agama sangat memerlukan keamanan dan ketenangan. Perlu saling hidup harmoni, menghormati sesama sendiri dan tidak saling prejudis. Manusia secara fitrahnya mahukan kebahagiaan bekeluarga, kebahagiaan berkomuniti, dan mengekalkan kemakmuran hidup.



Apa jua halangan, setiap insan ada hak untuk hidup makmur tanpa merosakkan orang lain. Orang akan marah sekiranya hak mereka tercabul, hak mereka dipertikaikan, hak mereka tidak diberi secara adilnya, dan kepada siapa mereka akan mengadu untuk mententeramkan situasi yang tunggang langgang ini. Apakah kebanyakan manusia saling menghormati dan bertolak ansur untuk mencapai hidup yang harmoni?


Kepercayaan, keimanan, dan amalan agama amat penting bagi setiap jiwa untuk mengekalkan kebahagiaan jiwa. Memang, setiap agama menuntut penganutnya membuat kebaikan sesama sendiri, tidak mungkin sama sekali menghancurkan orang lain, kecuali hak dan kebebasan mereka tercabar. Tuhan tidak membinasakan manusia kecuali manusia itu sendiri mahukan begitu. Tidak berubah sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu sendiri mengubah nasibnya.

Hidup secara spiritual atau keruhaniah perlu diberi keutamaan supaya jiwa seseorang itu tidak kosong dan tidak mudah diperdaya oleh manusia lain. Kita mudah diperdaya oleh sifat keiblisan atau kesyaitanan jika tidak mempunyai tauhid yang kukuh.


"Dan sesiapa yang mencari selain Islam sebagai Dinn (peraturan hidup) maka sesekali tidak diterima dan ia di akhirat kelak dari golongan mereka yang rugi." (Al Imran: 85).