Saturday, April 17, 2010

Futuhul Ghaib - 10 sifat ahli kerohanian. (5)





Salam hormat dan rahayu,


Penulisan lalu saya telah menjelaskan sembilan sifat yang perlu ada bagi setiap ahli kerohanian, sifat yang kesepuluh pula ialah merendahkan diri iaitu tidak berbangga-bangga dan tidak pula membesarkan diri. Dengan sifat ini seseorang itu akan dipermuliakan oleh Allah. Justeru ia disempurnakan kedudukan disisiNya dan juga pada pandangan manusia. Ahli kerohanian yang menguasai sifat kesepuluh ini dianugerah kuasa memperoleh apa saja di dunia dan di akhirat. Sifat ini merupakan akar dan ranting bagi pokok kesempurnaan taat dan patuh kepada Allah.







Dalam keadaan bersifat merendahkan diri itu, seseorang itu (hamba Allah) hanya nampak kelebihan orang lain lalu berkata pada dirinya " barangkali orang itu lebih baik daripada aku pada pandangan Allah dan lebih tinggi kedudukannya". Sekiranya orang itu orang kecil, hamba Allah akan berkata "orang ini tidak bersalah kepada Allah tetapi aku yang bersalah, oleh itu sudah tentu dia lebih baik daripada aku". Jika orang itu orang besar, hamba Allah itu terus berkata "orang itu telah menghambakan dirinya kepada Allah sebelum aku berbuat demikian".







Sekiranya hamba Allah itu melihat seseorang yang alim, lalu ia berkata pada dirinya "orang itu telah diberi apa yang yang tidak sampai padaku dan ia telah mendapat apa yang aku tidak dapat, dan ia tahu apa yang aku tidak tahu, dan dia bertindak menurut pengetahuan. Jika orang itu orang jahil, maka hamba Allah itu akan berkata " orang ini engkar kepada Allah dalam jahilnya, tetapi aku engkar pada hal aku berilmu, aku tidak tahu apakah akhirnya aku dan apa pula akhirnya dia".






Jika dilihatnya orang yang kafir pula, lalu ia (hamba Allah) berkata "aku tidak tahu, mungkin dia menjadi seorang muslim dan akhir hayatnya penuh dalam kebaikan, tetapi mungkin aku menjadi kafir dan berakhir dalam kejahatan". Justeru jika seseorang berfikiran demikian dan bersifat seperti ini, akan terserlah pintu hati dengan penuh kasih sayang dan takut kepada Allah.







Apabila seseorang ahli kerohanian ini mencapai ke tahap ini, lidahnya akan berhenti dari memperkatakan hal-hal dunia dan apa-apa saja yang sia-sia. Sifat sombong, dengki dan melampau batas akan hilang dari hatinya dalam semua keadaan. Cakapnya serupa dengan apa dalam hatinya, dan tujuannya serupa dengan apa yang ada dalam hatinya, pendek kata, zahir dan batinnya serupa juga. Pelihara dan kekallah peringkat ini supaya terjamin sifat zuhud dalam diri kita.

Wednesday, April 7, 2010

Futuhul Ghaib - 10 Sifat Ahli Kerohanian (4)




Salam hormat dan rahayu,





Saya cuba meneruskan penulisan ini dengan menyentuh perkara ke tujuh, sifat yang perlu ada pada seseorang yang bergelar ahli kerohanian. Setiap ahli kerohanian mesti iaitu tidak boleh tidak menghindarkan dirinya dari perkara yang berdosa, zahir dan batin, dan jauhkan anggotanya membuat perkara yang berdosa. Justeru Allah akan memelihara hati seseorang itu dan dapat membuang segala hawa nafsu keduniaan semata-mata.


Perkara delapan pula, setiap ahli kerohanian hendaklah jangan membebani seseorang sama ada berat atau ringan, sebaliknya membantu dan membuang beban orang tersebut sama ada ia memohon atau tidak. Jika bersifat dan bertindak sedemikian, ahli kerohanian itu dimuliakan oleh Allah dan memperoleh kekuatan untuk menasihati orang lain pula supaya berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan,


Dalam peringkat ini, ahli kerohanian itu dijadikan oleh Allah hatinya tidak memerlukan apa-apa dan ia berpegang teguh dan bertawakal kepadaNya sahaja. Allah tidak akan menaikkan taraf atau pangkat kerohanian seseorang itu disisiNya jika ia masih terikat erat kepada kehendak hawa nafsu keduniaan semata-mata.


Pada ahli kerohanian yang telah mencapai ke tahap ini, semua makhluk adalah sama dan mempunyai hak yang sama. Menuju ke jalan keikhlasan. Pada peringkat ke sembilan pula, setiap ahli kerohanian itu tidak berharap-harap kepada manusia dan tidak juga terasa dalam hatinya mahu memilik apa saja yang ada pada mereka. Justeru mereka berkeyakinan tinggi dan bertawakal sepenuh hati kepada Ilahi.