Monday, March 8, 2010

Futuhul Ghaib - 10 Sifat Ahli Kerohanian (3)






Salam hormat dan rahayu






Saya teruskan huraian berkaitan sepuluh sifat yang perlu ada pada setiap ahli kerohanian. Empat sifat telahpun diterangkan pada penulisan lalu. Kini kita pergi pula ke sifat kelima dan keenam.





Sifat kelima yang perlu ada bagi ahli kerohanian ialah jangan berdoa kepada Ilahi supaya orang lain mendapat bahaya, walaupun ia (ahli kerohanian) dilayan dengan cara yang tidak baik. Usahlah memberi respon atau tuntutan terhadap layanan yang tidak baik dengan lisan atau perbuatan, pasrahlah kepada Allah. Sekirannya seseorang ahli kerohanian itu dapat berbuat demikian, nescaya ia akan diberi pangkat kerohanian yang tinggi disisi Allah.





Ahli kerohanian yang terlatih dengan cara ini dan tetap dalam sifat ini akan mendapat kemuliaan dalam dunia dan di akhirat kelak serta akan dicintai oleh orang yang bersifat benar, sama ada yang dekat mahupun yang jauh. Permohonannya pula akan diterima dan ia mendapat kemuliaan dihati mereka yang beriman.





Sifat yang keenam, seseorang itu tidak boleh menghukumkan orang lain (yang beragama Islam) musyrik, munafik atau kafir. Jika kamu tidak mengkafirkan, memunafikkan atau memusyrikan seseorang itu, maka ini menunjukkan kamu menurut sunnah nabi besar Muhammad s.a.w. dan menjauhkan diri kamu dari membuat kacau dalam perkara yang Allah sahaja mengetahui, dan menjauhkan dari seksaannya.





Seterusnya, situasi ini menghampirkan kamu kepada rahmat dan keredhaanNya. Justeru ini merupakan pintu yang mulia menuju ke arah Ilahi Yang Maha Bijaksana dan Pemberi Rahmat.