Sunday, January 31, 2010

Usah Berkonflik.





Salam hormat dan rahayu




Setiap manusia jika keselamatannya diancam pasti akan bertindak tegas menentang habis-habisan terhadap musuh untuk mengekalkan keamanan diri, keluarga, dan keharmonian negara. Setiap individu perlu mempunyai jati diri, bersemangat patriotk, dan ada pegangan kerohanian yang kukuh demi mempertahankan negara daripada ancaman musuh.




Negara akan kucar-kacir lalu lebur sekiranya semua rakyat termasuk pemimpin tidak bersatu teguh dalam membangun dan mempertahankan negara. Rakyat yang berbilang kaum dan terdiri dari pelbagai anutan agama, jika tidak saling bantu membantu, dan saling menghormati, dalam hidup bermasyarakat, maka dalam kalangan mereka akan saling berkonflik dan perpaduan yang sedia ada akan mulai pudar.






Setiap agama mengajar penganutnya membuat kebaikan dan saling membantu terhadap sesama manusia dan menghargai perpaduan. Konflik agama dalam kalangan rakyat amat besar risikonya, lihat apa yang telah terjadi di beberapa kawasan seperti di Ambon, Indonesia, Selatan Thai, Filipina, dan India - Pakistan, ramai yang terbunuh, keamanan tidak lagi utuh, prasangka dalam kalangan rakyat semakin menular, dan ekonomi semakin terjejas.




Penuhilah dada dan hati dengan keimanan, dan kerohanian yang tinggi supaya hidup ini sentiasa bermakna dan berfungsi dalam masyarakat yang penuh pancaroba. Kawal dan urus emosi, dan hapus nafsu amarah yang boleh membawa mudarat kepada orang lain.

Sunday, January 24, 2010

Kalimah Perjuangan.




ANAK PERLU DIDIDIK SEJAK KECIL LAGI.


Apa jua perjuangan yang baik, apatah lagi mempertahankan kalimah syahadat, perlu dipupuk dihati sanubari anak sejak ianya kecil lagi. Anak harapan bangsa, anak pewaris zuriat yang akan mencorak warna kehidupan masa depan dunia ini. Anak juga merupakan madu dan racun untuk keharmonian sesebuah keluarga. Tidak ada satu pun keluarga yang mahu abaikan kebajikan anaknya.

Anak perlu diberi pendidikan yang sewajarnya, selain didikan duniawi, didikan rohani amat perlu sekali diberi kepada mereka untuk membina keluhuran budi dan hidup berdisiplin. Anak yang tidak berpendidikan dan terbiar, lambat laun akan lenyaplah kegemilangan bangsanya. Kalau nak dilentur buluh, hendaklah dimulai dari rebungnya, kalau nak dididik dan mendisiplinkan anak hendaklah dimulai sejak ianya masih dalam dukungan ibu bapanya.

Justeru bila lahirnya anak sama ada lelaki atau perempuan, bagi keluarga yang beragama Islam, pasti ketua keluarga akan mengazan atau qamat di kuping anak tersebut, anak itu telah diberi kalimah tauhid, dan nilai-nilai kerohanian serta perjuangan menuju kejayaan. Saya cuba kaitkan apa yang diiktirafkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai hak kanak-kanak.

Konvensyen Mengenai Hak kanak-Kanak, telah diterima pakai oleh Perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 20 November 1989, mengiktirafkan bahawa kanak-kanak, untuk perkembangan yang sepenuhnya dan berharmoni bagi personalitinya, patut membesar dalam persekitaran kekeluargaan, dalam suasana bahagia, kasih sayang dan persefahaman.

Tuesday, January 19, 2010

Yoga Patanjali (3)



amalan meditasi/yoga klasik



Salam hormat dan rahayu,

Dalam penulisan yang lalu saya ada menyentuh mengenai lapan syarat yang perlu dilalui oleh seseorang untuk menguasai ilmu Yoga [Yoga Patanjali (2) : Nov. 21, 2009], kini saya cuba menjelaskan perjalanan hidup sebagai ahli Yoga.

Secara ringkas : Yoga sebagaimana yang dihuraikan oleh Patanjali, adalah bertujuan melepaskan diri dari kondisi kemanusiaan, dan memperoleh kebebasan mutlak. Bagaimana caranya untuk memperoleh kesemuanya itu, antara kaedah ialah melalui teknik yang kompleks merangkumi psikologi dan kekuatan minda.

Kaedah tersebut dapat dinamakan sebagai anti profane atau anti humane, bermaksud : melakukan hal-hal sebaliknya apa yang dilakukan oleh manusia biasa. Manusia biasa hidup dalam masyarakat, mendirikan institusi keluarga. Yoga mewajibkan hidup tersendiri, tidak ada hubungan dengan wanita. Orang biasa bergerak, ahli Yoga berdiam. Orang biasa bernafas, ahli Yoga pula mengatur nafas dan mempersedikit sedapat mungkin.


menyatukan fikiran


Fikiran orang biasa memberi reaksi kepada berbagai dan pelbagai hal diluar dirinya. Yoga berfokus pada satu hal sahaja. Seorang ahli Yoga mengasingkan diri dari hidup material, dan hal-hal yang boleh mengganggu, mengurang dan menghilngkan tumpuan  fokus pemikirannya. 

Setiap pengamal Yoga sentiasa berusaha mempersatukan fungsi-fungsi hidup yang terpenting iaitu susun atur bernafas dan kesedaran minda.

Wednesday, January 13, 2010

Tuhan yang Maha Esa.




Salam hormat dan rahayu,

Setiap penganut agama Islam bertuhankan Allah yang Maha Esa. Yang Esa itu sungguh satu, iaitu benar-benar hanya satu, tidak dua, tidak tiga. Allah tidak beranak, tidak pula diperanakkan, segala sesuatu bermohon hanya padaNya, dan tidak dapat dibandingkan dengan apa jua pun.





Sesungguhnya sebelum ada apa-apa, awung uwung (keadaan kosong) ini, hanya Allah yang ada. Tuhan menciptakan cahaya nur ru'yah, lalu menjadi unsur-unsur, segera mengurai menjadi tanah, api, angin (udara), dan air. Tuhan tiada arah, ertinya tanpa tempat. Jauh tiada terhingga (tiada perantaraan), dekat tiada bersentuhan, adanya Dia, lantaran Dzatnya sendiri.



kraton Solo


Justeru Maha Suci Allah itu adalah Dzat mutlak, yang kadim, azali abadi bersemayam dalam nukat ghaib, ibarat huruf Alif bersifat wajib al- wujud. Istilah wajib al-wujud dalam ilmu kalam, bererti ada dari DzatNya sendiri, tanpa sebab dari luar, adanya adalah wajib, mustahil Dia tidak ada, malah tidak dapat diserupa dengan apapun.

Sunday, January 10, 2010

Al Fatihah untuk Gus Dur.



Salam hormat dan rahayu,
Al Fatihah, semoga Allah mencucuri rahmat untuk Bapak Gus Dur (Abdurrahman Wahid).

Daripada Allah kamu hadir, dan kepada Allah jua kamu dikembalikan. Setiap yang bernafas akan melalui kematian. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Nama disini, dimaksudkan kebaikan yang dibuat semasa hidup di dunia.

Allahyarham Gus Dur wafat setelah membuat jasa kepada rakyat Indonesia khususnya, dan beliau digelar sebagai Bapa Pluralisme Indonesia. Anak kelahiran Denanyar, Jombang, Jawa Timur adalah mantan pemimpin Nahdlatul Ulama Indonesia (1984 -1999). Beliau dikebumikan di Pondok Pesantren Tebu Ireng, Jombang, Jawa Timur.


Penyokong Gus Dur sedang berdoa kepada Ilahi.

Pak Gus Dur merupakan Tokoh Pemikiran Islam Moden, telah menyatukan masyarakat majmuk daripada pelbagai etnik, daerah, dan agama. Banyak teladan telah dibuat oleh Pak Gus Dur mengenai Islam sebagai sumber perdamaian dan toleransi, di Indonesia, mahupun di peringkat antarabangsa.




Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah berpendapat bahawa Pak Gus Dur merupakan seorang patriotik, nasionalis yang berjuang untuk Indonesia dan kesucian agama Islam.

"Allah menetapkan roh atas perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya diantara hamba-hambaNya". (Al Mu'min : 15).

Saturday, January 9, 2010

An-Nahl : 125


gereja dibakar


Salam hormat dan rahayu,

Apa jua tindakan tanpa fikir, apatah lagi dikuasai nafsu, sudah tentu suasana menjadi musnah, tunggang langgang dan lebur. Setiap agama dan apa jua kepercayaan mahukan penganutnya berbuat kebaikan dan saling hormat menghormati supaya hidup ini penuh dengan keharmonian.

Tindakan melulu dan terburu-buru ke atas apa jua yang boleh membawa kerosakan harta benda dan keamanan masyarakat membolehkan keadaan yang stabil akan menjadi haru biru, manusia saling prejudis, dan berkonflik sepanjang masa. Konflik dalam kalangan agama adalah konflik yang perlu dielakkan sama sekali kerana risikonya amat besar.


bila pergolakan berlaku ......

Pertumpahan darah akan berlaku, negara akan mengalami kemusnahan, emosi kalangan rakyat tidak dapat dikawal, dan akan saling berdendam yang tiada kesudahan. Justeru urus emosi, kawal nafsu, usah bertindak membabi buta kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut nafsu lesu, dan yang sebaik-baiknya ikut iman, pasti aman. Kawallah emosi dan nafsu dalam diri kamu agar tidak bertindak melampaui batas kemanusiaan dan keagamaan.

Nafsu ertinya angkara, pada dasarnya ia adalah tenaga dalam batin yang mendorong manusia untuk mengejar dan mendapat sesuatu sama ada kesenangan duniawi atau kemenangan ukhrawi dengan melalui berbagai dan pelbagai peringkat. Nafsu yang perlu diurus dan diberi perhatian oleh umum ialah nafsu ammarah.

Nafsu ammarah, ertinya garang, memiliki watak angkara murka, antaranya iri hati, pemarah, pemberang, dan ianya bersumber di hempedu, ibarat hati bersinar merah. Jika nafsu ammarah tidak dapat dikawal, pasti berlaku perkara yang buruk dan musnah.

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik". ( surah An-Nahl : 125).

Friday, January 1, 2010

Fana' dan Baqa'kah Aku?


SELAMAT TAHUN BARU 2010

Salam hormat dan rahayu

Penulisan lalu, telah saya sentuh secara asas berkaitan dengan istilah zuhud. Dalam dunia tasawuf, banyak sekali istilah sufi diguna pakai untuk menjelas dan menerangkan apa jua isu yang berkaitan dengan pengetahuan dan perjalanan ilmu tasawuf, antaranya fana', sirr, qalb, zauq, musyahadah, dan tajalli. Saya cuba hurai secara ringkas mengenai fahaman fana' dan baqa' untuk pengetahuan pembaca blog ini.

Fana' didefinisikan sebagai hancur. Menurut kacamata dunia tasawuf, fana' diertikan sebagai hancurnya sifat-sifat tercela. Justeru insan yang fana' adalah insan yang telah hancur sifat-sifat ketercelaannya. Ia telah memiliki sifat-sifat Allah dan mempunyai akhlak Allah, seperti hadis nabi:


"Milikilah sifat-sifat Allah dan berakhlaklah dengan akhlak Allah". Istilah fana' selalunya berganding dengan sifat baqa'. Baqa' secara harfiah bererti kekal. Kekal dalam ungkapan dunia tasawuf ialah kekalnya sifat-sifat terpuji pada diri seseorang setelah lenyapnya sifat-sifat tercela. Oleh itu, fana' dan baqa' bagaikan irama dan lagu, tidak boleh diasingkan.


Seseorang sufi yang telah sampai ke tahap fana' dan baqa' , jiwanya telah bersih sehingga memungkinkan dia "melihat" Allah, dekat denganNya, mendapat anugerah mukasyafah dan musyahadah. Timbulnya fana' dan baqa' pada seseorang itu adalah adanya kesedaran bahawa setiap manusia akan hancur dan yang kekal hanyalah Allah.


"Semua orang yang di bumi akan musnah. Dan zat Tuhanmu yang Besar lagi Mulia akan tetap tinggal kekal." (Al-Rahman : ayat 26 - 27).